SKMM saran pengguna elak beli alat CBR tidak berdaftar

Elak beli alat CBR tidak berdaftar – SKMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai agar tidak membeli alat Cellular Booster Repeated (CBR) daripada sumber tidak berdaftar.

Ia susulan peningkatan kes gangguan spektrum melibatkan peralatan itu yang tidak mematuhi piawaian bagi menambah kekuatan isyarat daripada stesen pemancar atau peranti mudah alih.

“Namun, penggunaan CBR secara berleluasa dan tidak teratur boleh menyebabkan gangguan kualiti rangkaian selular dan jalur lebar mudah alih,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

CBR merupakan alat penguat isyarat telekomunikasi bagi telefon selular berbentuk seperti antena dalaman router wi-fi untuk pengguna yang menghadapi masalah liputan kerana rumah jauh dari menara pemancar.

SKMM turut memaklumkan bilangan sumber gangguan akibat CBR itu merekodkan 227 kes pada tahun lalu bertambah daripada 131 (2019), 76 (2018), 14 (2017) dan hanya dua (2016).

Justeru, bagi membendung masalah ini, SKMM telah mengeluarkan Garis Panduan Pembelian, Penggunaan dan Pemilikan CBR yang sudah pun berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 lepas.

Kenyataan tersebut turut meminta para pengguna hanya mendapatkan peralatan berkenaan daripada pihak syarikat penyedia perkhidmatan selular yang didaftar sah di seluruh negara.

“Kegagalan mematuhi garis panduan ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Peraturan Komunikasi dan Multimedia 2000,” katanya.

Mereka yang ingkar jika disabitkan kesalahan ujar SKMM, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ia juga menasihatkan pengguna jika menghadapi masalah liputan, untuk membuat aduan rasmi kepada syarikat penyedia perkhidmatan mereka melalui wadah saluran rasmi disediakan.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, sekiranya masih tidak berpuas hati dengan penyelesaian oleh syarikat terbabit, mereka boleh mengajukan aduan itu terus kepada pihak SKMM sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.