fbpx

3 Disember 2021, 4:06 pm

  TERKINI

Diminta cuti tanpa gaji, pekerja syarikat penerbangan jual sushi

WAN Isma Ezzaqri Othman dan Nur Zahwa Zakaria menjual sushi di Jalan Seremban- Jelebu, ketika ditemui Utusan Malaysia di Seremban, semalam.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sektor pelancongan dan penerbangan merupakan antara sektor perniagaan yang cukup terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.

Ramai pekerja dalam industri tersebut yang diberhentikan kerja ataupun diarahkan cuti tanpa gaji, tidak terkecuali, seorang pemuda, Wan Isma Ezzaqri Othman, 23, yang diminta mengambil cuti tanpa gaji oleh sebuah syarikat penerbangan sejak Disember lalu.

Tidak mahu terlalu kecewa, dia segera membuat keputusan memulakan perniagaan menjual sushi secara jalanan di Jalan Seremban-Jelebu berhampiran stesen minyak Petronas dekat sini.

Menurut Ezzaqri, dia memilih untuk menjual sushi selepas potensi makanan Jepun itu sendiri selain semangat dan sokongan yang diberikan oleh keluarga dan rakan sekerja.

“Saya sebelum ini bertugas sebagai pembantu perkhidmatan pelanggan di bahagian kaunter daftar masuk lapangan terbang dan telah diarahkan untuk cuti tanpa gaji selama tiga bulan bermula Disember lalu.

“Pada mulanya memang saya rasa sedih, namun saya perlu bangkit cepat dan terus terfikir untuk menjual sushi memandangkan masih belum banyak gerai menjual sushi di Seremban,” katanya yang ditemui di gerai Ninja Sushi miliknya dekat sini semalam.

Menurut Ezzaqri, gerai sushi diusahakannya itu yang bermula sejak 4 Disember lalu pernah diserbu sebaik dibuka dan lebih 700 biji sushi habis dalam tempoh satu jam sahaja.

“Sambutan luar biasa daripada pelanggan membuatkan saya lebih bersemangat dan teruja untuk menyediakan sushi terbaik.

“Rata-rata pelanggan sanggup beratur dan datang dari kawasan lain untuk menikmati sushi ini yang menggunakan bahan berkualiti selain rasanya yang enak lain daripada sushi biasa dan boleh dimakan begitu sahaja,” katanya.

Ezzaqri berkata, gerai Ninja Sushi Seremban itu yang dijalankan bersama rakannya, Nur Zahwa Zakaria, 25, beroperasi setiap hari Selasa hingga Ahad bermula pukul 1.30 petang dan terdapat 40 jenis sushi disediakan pada harga serendah RM1.

“Alhamdulillah, perniagaan sushi ini menyuntik semangat baharu dan kini saya mampu memperoleh pendapatan lebih baik daripada sebelum ini,” katanya yang berhasrat membuka sebuah lagi cawangan Ninja Sushi di Seremban 2 dalam masa terdekat.

Sementara itu, Nur Zahwa yang mesra disapa Zawa berkata, perniagaan sushi ini merupakan ‘rezeki’ yang datang tanpa diduga.

“Sebelum ini, saya langsung tidak terfikir untuk menjual sushi, tapi apabila diajak oleh Ezzaqri untuk berniaga saya terus setuju,” katanya.

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI