Darurat: Langkah berani, tegas, wajar oleh Yang di-Pertuan Agong

Darurat: Langkah berani, tegas, wajar oleh Agong

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyifatkan Proklamasi Darurat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai sebagai satu langkah yang berani, ada ketegasan dan menepati pada kewajaran suasana.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, perisytiharan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memerangi wabak Covid-19 dilihat ada kebijaksanaan hikmah demi kesejahteraan negara.

Beliau berkata, justeru itu, soal darurat tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak tertentu sehingga ada usaha mencelarukan negara dan kebijaksanaan keputusan Seri Paduka perlu dihormati oleh semua pihak dengan baik.

“Umum perlu memahami dan mengetahui bahawa antara perkara Proklamasi Darurat membolehkan Ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak Covid-19 dengan lebih serius di negara ini.

“Yang di-Pertuan Agong perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

“Ordinan darurat boleh dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong bertujuan membendung wabak merangkumi hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil-alihan sementara tanah, bangunan atau harta hospital swasta dan penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam (Selasa), Al-Sultan Abdullah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu kelmarin (Isnin).

Dalam pada itu, Razali menambah, Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan perlu melibatkan Ahli Dewan Negara selaku badan tertinggi institusi keparlimenan dan negara.

“Kerajaan turut mengumumkan suatu Jawatankuasa Khas Bebas, dianggotai ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta  pakar kesihatan akan ditubuhkan bagi memperakukan jaminan pelaksanaan darurat adalah adil dan telus.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan keperluan melibatkan kumpulan Ahli Dewan Negara selaku badan tertinggi institusi keparlimenan dan negara berdasarkan kepakaran dan pengalaman sedia ada,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.