Bukan kompaun sebaliknya notis hadir beri keterangan

Bukan kompaun sebaliknya notis hadir beri keterangan – JHEAINS

BEBERAPA gambar yang tular dalam media sosial yang mendakwa beberapa jemaah di Surau Taman Matahari Height, Senawang, Seremban dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana melanggar SOP ditetapkan kerana mengadakan jamuan di surau berkenaan. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bukan kompaun tetapi teguran diberikan kepada beberapa ahli jemaah surau Taman Matahari Height, Senawang dekat sini selepas mereka didapati tidak mengikuti prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Ia selepas tular di media sosial hari ini beberapa gambar jemaah surau tersebut yang dikatakan dikompaun sebanyak RM1,000 oleh anggota penguat kuasa apabila mengadakan jamuan selepas waktu solat maghrib di surau berkenaan semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JHEAINS, Nik Azlan Nik Man berkata, tiada sebarang saman atau apa-apa notis dikeluarkan oleh pihak Pegawai Penguat Kuasa Agama JHEAINS ke atas jamaah di surau berkenaan.

Tambahnya, dakwaan bahawa pihaknya mengeluarkan kompaun juga adalah tidak benar kerana Pegawai Penguat Kuasa Agama tiada sebarang kuasa untuk menawarkan sebarang kompaun ke atas mana-mana individu.

“Gambar tular yang menunjukkan pegawai penguat kuasa sedang menulis seakan-akan kompaun adalah sebenarnya Notis Perintah Hadir untuk Memberikan Keterangan.

“Ini kerana penerima notis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 59 Enakmen Jenayah Syariah (NS) pindaan 2019 yang berkaitan dengan Engkar Arahan Pihak Berkuasa Agama kerana tidak mematuhi SOP Pengimarahan Masjid dan Surau yang dikeluarkan oleh pihak JHEAINS kerana mengadakan aktiviti jamuan dan menjamu makanan di antara jamaah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah beliau, dalam kejadian di surau tersebut semalam, seramai lima individu diberikan Notis Perintah Hadir Memberikan Keterangan tersebut dan kejadian berlaku di antara waktu solat Maghrib dan Isyak.

Sementara itu, menurut Nik Azlan lagi, pihaknya setakat ini telah menjalankan kira-kira 10,000 pemeriksaan di surah dan masjid di Negeri Sembilan bagi memastikan jemaah mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Selepas pemeriksaan tersebut kami belum lagi mengeluarkan notis berkenaan sehinggalah semalam kerana dilihat ada yang melanggar SOP tersebut dan kami perlu bertegas.

“Kami akan terus melakukan pemeriksaan termasuk pada waktu Subuh, kita sayang kepada umat Islam malah langkah ini juga bagi menjaga nama baik masjid dan surau di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya