Bekalan, harga bawang kembali stabil - Alexander Nanta Linggi

Bekalan, harga bawang kembali stabil

ALEXANDER Nanta Linggi membuat lawatan kerja dan pemeriksaan perniagaan bawang di salah sebuah premis perniagaan yang berperanan sebagai pengimport dan pemborong yang di Klang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekalan dan harga bawang di pasaran kembali stabil dan cukup untuk keperluan pengguna sehingga Ogos ini. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana negara pengimport utama bagi bekalan bawang iaitu India telah pulih daripada masalah banjir dan sudah mula mengeksport bekalan bawang ke luar untuk memenuhi permintaan khususnya di Malaysia. 

Sebelum ini, katanya, Malaysia sangat terkesan dengan kemasukan bawang dari negara pengimport kerana terdapat arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang. 

“Langkah ini bertujuan untuk menampung keperluan domestik di negara mereka (India) ekoran bencana banjir yang berlaku sejak Julai tahun lalu.

“Jumlah import bekalan bawang daripada negara luar dari Januari sehingga Disember tahun lalu adalah 489,297 metrik tan di mana bekalan bawang diimport dari 24 negara membabitkan lima negara pengeksport terbesar iaitu India (31 peratus), Pakistan (24 peratus), China (22 peratus), Belanda (10 peratus), Thailand (6 peratus), New Zealand (3 peratus) dan lain-lain (4 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas mendapat makluman susulan lawatan kerja dan pemeriksaan perniagaan bawang di salah sebuah premis perniagaan yang berperanan sebagai pengimport dan pemborong yang bertempat Klang, Selangor, dekat sini semalam.

Alexander berkata, daripada jumlah ini, India merekodkan jumlah pengeksport bawang terbesar iaitu sebanyak 152,519 metrik tan. 

Katanya, permintaan tinggi bagi bawang dari India kerana ia memenuhi cita rasa rakyat Malaysia. 

“Terdapat lapan jenis bawang yang diimport ke Malaysia iaitu Bawang Kecil Merah Import (India), Bawang Besar Import (India), Bawang Merah Import (China), Bawang Kecil Merah Import (China), Bawang kecil Merah Rose (Import), Bawang Kecil Merah Import (Myanmar), Bawang Kecil Merah (Thailand) dan Bawang Besar Kuning (Holland).

“Malaysia juga, turut mengimport bawang dari pelbagai negara sebagai salah satu strategi yang berkesan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan Malaysia tidak bergantung kepada sesebuah negara pengeluar sahaja,” katanya. 

Tambahnya, jika sesebuah negara tersebut mengalami bencana alam seperti kemarau, banjir, gempa bumi dan tanah runtuh, atau melaksanakan sekatan ekonomi, maka Malaysia tidak akan terganggu dengan bekalan bawang yang akan memberi kesan pada harga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya