259,131 Mykad dilaporkan hilang tahun lalu, cuai punca tertinggi - Utusan Malaysia

259,131 Mykad dilaporkan hilang tahun lalu, cuai punca tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Memeranjatkan! Sebanyak 259,131 kes kehilangan kad pengenalan (MyKad) direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sepanjang tahun lalu.

Situasi itu menimbulkan tanda tanya bagaimana dokumen terpenting rakyat Malaysia itu boleh ‘dihilangkan’ dalam simpanan masing-masing.

Apatah lagi, sepanjang tahun lalu negara berdepan dengan pandemik Covid-19 dengan kebanyakan orang ‘terkurung’ di rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada kes yang dilaporkan, sebanyak 223,679 kehilangan berlaku akibat kecuaian pemegang MyKad sendiri dengan alasan yang tidak munasabah seperti hilang di dalam kediaman atau tertinggal di tempat awam.

Selain itu kata beliau, sebanyak 30,821 kes kehilangan Mykad lagi adalah akibat perbuatan jenayah selain terlibat dalam bencana (4,631).

Dalam hal itu katanya, JPN sama sekali tidak akan berkompromi dan penguatkuasaan lebih tegas akan diambil terhadap mana-mana individu sekiranya MyKad mereka didapati hilang berpunca kecuaian diri sendiri terutamanya kes kehilangan berulang.

“Ada kes kehilangan MyKad berturut-turut setiap tahun. Kita memandang serius isu ini kerana MyKad sepatutnya dijaga dengan selamat oleh rakyat kerana itu adalah dokumen terpenting membuktikan kewarganegaraan masing-masing.

“Justeru, penguatkuasaan akan dilaksanakan lebih tegas tanpa sebarang pengurangan denda bagi kes-kes yang jelas akibat cuai sebanyak tiga kali atau lebih yang mana denda maksimum RM1,000 akan dikenakan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Dalam pada itu, menurut Ruslin, pihaknya turut meneliti kes-kes kehilangan berkaitan unsur jenayah seperti kecurian, ragut atau samun kerana didapati ada antara kes berkaitan membuat laporan palsu kepada pihak polis.

Kata beliau, laporan palsu itu dikesan dilakukan terutamanya mereka yang kehilangan tiga kali atau lebih dan alasan yang direka cipta pula hampir sama.

Kes-kes seumpama itu, katanya akan dibawa ke panel siasatan bagi menyiasat dan mengesahkan kehilangan tersebut berlaku betul-betul disebabkan jenayah.

“Dalam isu ini, JPN bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan perkara sebegini dapat ditangani. kita akan memanggil individu bagi kes kehilangan kali ketiga atau kerap kerana ia nampak seperti ada trend pula,” katanya.

Ruslin pada masa sama mengingatkan semua individu wajib melaporkan segera sebarang kes kehilangan MyKad.

Ini kerana, katanya, sekiranya MyKad itu dikesan diguna pakai oleh orang lain untuk tujuan penyamaran, pemilik MyKad terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah 25 (1), Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Jelas beliau, ini termasuk sekiranya terbukti pemilik MyKad tanpa alasan yang munasabah menjual MyKad kepada warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN