143 ketua bahagian UMNO enggan kerjasama Bersatu pada PRU-15 - Utusan Malaysia

143 ketua bahagian UMNO enggan kerjasama Bersatu pada PRU-15

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Seramai 143 daripada 191 Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah hasil dapatan daripada tinjauan yang dilakukan menerusi kumpulan WhatsApp Ketua Bahagian UMNO.

“Sebagai Presiden UMNO, saya menghormati jika keputusan 143 ketua bahagian itu kemudian dijadikan usul secara rasmi di peringkat perwakilan bahagian, ertinya itu adalah usul yang harus dikaji dan diterima oleh UMNO Malaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, semua usul itu nanti akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang kemudian akan membuat ketetapan sama ada akan menerimanya atau tidak.

Katanya, sebarang keputusan yang dibuat oleh MT nanti harus diterima dan dihormati oleh semua 38 Ahli Parlimen UMNO sama ada yang menyandang jawatan dalam kerajaan atau tidak, sebagai keputusan parti.

Ditanya jika MT menerima usul tidak bekerjasama dengan Bersatu bermaksud semua Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ahmad Zahid berpendirian segala usul bahagian adalah usul rasmi yang akan diputuskan oleh MT untuk dibawa atau ditapis dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti.

“Jadi, MT akan melihat berapa jumlah sebenar usul tidak mahu bekerjasama yang dibuat secara rasmi oleh bahagian parti seluruh negara,” katanya.

Mengenai dakwaan ada usaha daripada pihak parti Bersatu membeli ahli UMNO, Ahmad Zahid berkata ia adalah kajian dan dapatan kajian yang dinyatakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

“Tentunya kenyataan beliau itu mempunyai asas dan fakta setelah beliau sendiri melakukan kajian itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya