fbpx

22 Januari 2021, 5:26 am

  TERKINI

UMNO patut berunding dulu

Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) meninjau sistem perparitan di kawasan Pasir Tumboh, Kota Bharu hari ini. UTUSAN / ROHANA MOHD NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: UMNO Perak sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan rakan sekutu sebelum membawa usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemelut politik tersebut kini bukan hanya membabitkan Perak, malah turut memberi kesan kepada negeri lain termasuk kerajaan Pusat.

“Bagi kita, isu di Perak ini sepatutnya diselesaikan di meja rundingan terlebih dahulu tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

“Di pihak Pas, kita akan tengok macam mana dalam masa sehari dua ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Taman Desa Wangi, Pasir Tumboh, di sini yang berdepan masalah banjir termenung.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam, Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti daripada ahli dewan dalam undi usul percaya terhadap beliau.

Untuk rekod, usul tersebut dibawa oleh wakil rakyat UMNO iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baru, Abd. Manaf Hashim.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan baharu di Perak.

Dalam masa sama katanya, parti itu akan terus memantau perkembangan semasa kemelut tersebut sebelum mengambil sebarang ketetapan lain selepas ini.

“Bagi pihak Pas, kita sudah ada pendirian iaitu tidak akan bersama kerajaan baharu.

“Sebelum ini kita mempunyai Exco (dalam kerajaan Perak) dan apabila kerajaan baharu dibentuk, kita tidak ada Exco,” katanya.- UTUSAN ONLINE