UMNO Bukit Gantang mahu Parlimen, semua 3 DUN - Utusan Malaysia

UMNO Bukit Gantang mahu Parlimen, semua 3 DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

ISU pembahagian kerusi dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelihatan berbahang.

UMNO Bahagian Bukit Gantang, Perak antaranya mengambil langkah awal apabila dengan tegas mengumumkan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerusi Parlimen berkenaan bakal ditandingi Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat UMNO bahagian itu baru-baru ini dengan menetapkan penyandang tiga kerusi DUN iaitu Trong, Kuala Sepetang dan Changkat Jering yang kesemuanya dimenangi ADUN BN dalam PRU-14, kekal ditanding penyandang yang sama dalam PRU-15.

Malah, Utusan Malaysia difahamkan UMNO bahagian berkenaan juga telah menamakan Naib Ketua UMNO bahagian itu, Azhari Abdul Aziz sebagai calon Parlimen Bukit Gantang dalam PRU-15.

Keputusan yang diambil oleh UMNO bahagian itu pastinya memberikan cabaran kepada penyandang kerusi Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Syed Abu Hussin, menang PRU-14 atas tiket BN namun meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu.

Justifikasi UMNO bahagian itu membuat keputusan menamakan calon awal ialah kerana berpegang kepada kata-kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO akan bertanding di semua kerusi yang dimenanginya dalam PRU-14.

Ketetapan yang dibuat oleh UMNO Bukit Gantang itu pastinya akan menjadi isu yang perlu diselesaikan apabila pembahagian kerusi untuk PRU-15 dalam PN kerana Syed Abu Hussin sudah pasti mahu kekal di kerusi berkenaan.

Hasrat itu ditunjukkan oleh Syed Abu Hussin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan pelbagai program bantuan kepada rakyat di kawasan berkenaan terutama sejak kebelakangan ini.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohd. Adri Adha Mohamad yang ditanya mengenai perkara itu berkata, mereka tetap dengan keputusan mahu kerusi Parlimen Bukit Gantang dan kesemua tiga kerusi DUN ditanding calon UMNO dalam PRU-14.

“Jika beliau (Syed Abu Hussin) tetap mahu bertanding di sini, beliau kena bertanding atas tiket Bebas’,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×