SHAH ALAM: Tular satu video memaparkan seorang penunggang motosikal terjatuh akibat terlanggar lubang di permukaan jalan raya berhadapan Hospital Columbia di Jalan Mahkota, Mutiara Bukit Raja di sini pagi tadi.
Video berdurasi 59 saat itu memaparkan lelaki terbabit dari arah Klang menghala ke Meru melanggar lubang di permukaan jalan raya itu yang berair.
Rakaman itu memaparkan lelaki terbabit cuba menyeimbangkan motosikalnya selepas melanggar lubang tersebut, namun gagal berbuat demikian.
Kemalangan itu mengakibatkan mangsa terjatuh dan dipercayai tidak sedarkan diri.
Malah, dalam video itu juga kelihatan seorang lagi penunggang motosikal melanggar lubang tersebut tetapi sempat mengelak daripada terjatuh selepas beberapa saat kejadian melibatkan mangsa pertama.
Sementara itu menurut sumber, lubang jalan di jalan raya itu berlaku disebabkan paip bocor daripada dalam tanah.
Sumber juga memaklumkan, jalan raya itu perlu diturap sekali lagi ekoran kebocoran paip tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kemalangan tersebut.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati lubang atas permukaan jalan raya itu telah diturap bagi mengelak berlaku kemalangan lagi. – UTUSAN ONLINE










