KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur akan mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya dikesan terbabit dalam kesalahan tatatertib serta salah laku jenayah tahun ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata , pihaknya kini dalam proses meneliti kesalahan dilakukan kesemua pegawai dan anggota didapati terlibat dalam salah laku untuk diteliti oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sebelum sebarang tindakan diambil sepenuhnya dalam masa terdekat.
“Setiap kesalahan yang dilakukan akan buka kertas siasatan dan JIPS meneliti seterusnya memikirkan kaedah hukuman yang akan dilakukan dan sekiranya perlu di buang, kita akan buang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saiful Azly berkata setiap hukuman akan ditentukan berdasarkan tahap kesalahan yang dilakukan.
“Hukuman akan dibuat berdasarkan tahap tinggi dan rendah kesalahan yang dilakukan, sebagai contoh, enam anggota polis ditangkap baru-baru ini turut dicadangkan untuk terus dibuang kerja.
“Hari ini kita tidak lagi akan berkompromi terhadap mereka yang terbabit dan tindakan yang agresif akan dilakukan kepada mana-mana polis yang melanggar peruntukan undang-undang,” jelasnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada ramai pegawai dan anggotanya dikenakan tindakan tatatertib tahun ini, Saiful Azly menjelaskan, pihaknya akan mengumumkan perkara itu kepada umum pada tahun hadapan.
“Saya tidak mahu komen lagi jumlah itu sebaliknya akan melakukan sidang akhbar pada Januari ini untuk mengumumkan jumlah polis yang terbabit dalam tempoh setahun.
“Tindakan yang diambil ini juga adalah sebahagian daripada hasrat Ketua Polis Negara yang mahukan mereka yang memalukan dan mengaibkan pasukan polis diambil tindakan,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan, JIPS Johor telah membuka sebanyak 230 kertas siasatan tatatertib membabitkan 32 pegawai kanan, 246 pegawai rendah dengan dua pegawai awam serta 154 kes salah lalu dan 45 berkaitan dadah.
Malah, sebanyak 46 anggota polis di negeri itu turut ditamatkan perkhidmatan selepas terbabit dalam pelbagai jenayah dan salah laku sepanjang tahun ini.-UTUSAN ONLINE










