KUALA LUMPUR: Taman Negara Johor Endau Rompin dicalonkan sebagai ASEAN Heritage Park (AHP) yang merupakan pencalonan keempat bagi Malaysia selepas Taman Negara (Pahang, Kelantan dan Terengganu), Taman Negara Kinabalu (Sabah) dan Taman Negara Gunung Mulu (Sarawak).
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam susulan keputusan Kerajaan Negeri Johor pada 7 Mac 2018 mengenai pencalonan tersebut.
Katanya, kementerian akan mengemukakan dokumen pencalonan kepada Sekretariat AHP di Filipina untuk dipertimbangkan kumpulan kerja ASEAN serta kelulusan di peringkat Menteri-Menteri ASEAN.
“Pencalonan Taman Negara Johor Endau Rompin sebagai AHP mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam memelihara dan mengiktiraf kawasan perlindungan sebagai khazanah negara yang tidak ternilai. Kita menyeru kerajaan-kerajaan negeri turut mengambil inisiatif mengemukakan pencalonan bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa seperti AHP.
“Pengiktirafan sebegini akan membantu aspek promosi sektor pelancongan tidak hanya di Malaysia dan peringkat ASEAN, malah di persada antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Pada masa sama, Shamsul menyifatkan pencalonan tersebut akan turut meningkatkan imej Taman Negara Johor sebagai kawasan konservasi penting di negeri itu dan Taman Negara yang kedua di Semenanjung.
“Ini akan memperkukuhkan pengurusan Taman Negara Johor berasaskan kepada ‘best management practice’ setaraf dengan pengurusan kawasan perlindungan serantau dan antarabangsa serta meningkatkan jaringan hubungan dan kerjasama di antara kawasan perlindungan dalam dan luar negara.
“Usaha ini juga selaras dengan hasrat ASEAN supaya langkah-langkah pemuliharaan perlindungan dilaksanakan bagi mengekalkan proses ekologi dan kepelbagaian genetik, memastikan pemeliharaan biodiversiti dan ekosistem serta memelihara hutan belantara yang mempunyai nilai tinggi dari aspek budaya, pendidikan, penyelidikan, rekreasi dan ekopelancongan,” katanya.
AHP merupakan inisiatif di bawah kerjasama serantau untuk menguruskan jaringan kawasan perlindungan (protected areas) di rantau ASEAN yang mempunyai keunikan, kepelbagaian biologi dan nilai ekologi terpenting.
Perkara itu dipersetujui negara-negara anggota ASEAN melalui ASEAN Declaration on Heritage Parks and Reserves 1984 yang ditandatangani Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand pada 29 November 1984.
Taman Negara Johor Endau Rompin dilitupi lebih 90 peratus hutan hujan tropika serta ekosistem yang masih terpelihara dengan hampir keseluruhan kawasan perlindungan dikelilingi rizab hutan simpan.
Taman negara itu mengandungi 80 spesies tumbuhan yang diancam secara global yang tersenarai di bawah senarai merah spesies terancam oleh organisasi antarabangsa iaitu Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).
Taman Negara Johor juga menjadi habitat penting bagi pemuliharaan mamalia besar yang terancam terutamanya Harimau Malaya (Panthera tigris), Tapir Malaya (Tapirus indicus), Beruang Matahari (Helarctos malayanus) dan Gajah Asia (Elephas maximus).