Siapa berani lawan Anthony Loke di Seremban? - Utusan Malaysia

Siapa berani lawan Anthony Loke di Seremban?

Anthony Loke
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selain Rembau, satu lagi kerusi Parlimen yang menarik untuk diperhatikan pertembungannya di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti adalah Seremban.

Kerusi itu kini disandang oleh bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dari DAP dan beliau telah memenanginya sejak PRU-13, kedua-duanya dengan majoriti besar.

Seremban sejak sekian lama sememangnya merupakan kerusi tradisi bagi DAP dan MCA, namun, sejak tiga penggal lalu, jelas MCA bukanlah lawan DAP.

Kekalahan berturut-turut MCA itu menyebabkan kedengaran desakan supaya UMNO diberi peluang bertanding di kerusi berkenaan.

Apatah lagi ia mengambil kira komposisi pengundi Melayu di Seremban membentuk jumlah besar iaitu sekitar 55,000 daripada kira-kira 110,000 pengundi di Parlimen tersebut.

Pemuda UMNO Bahagian Seremban mahu kerusi Parlimen Seremban tidak lagi ditandingi calon MCA pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya diserah kepada UMNO atau Pas.

Pada Julai lalu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, UMNO perlu diberi peluang bertanding kali ini sebagai satu strategi daripada Barisan Nasional (BN) untuk merampas Parlimen berkenaan dari DAP.

Katanya, ia bukan lagi mengambil kira kerusi tradisi sebaliknya strategi untuk menang dan tiada guna meletakkan calon MCA tetapi hanya untuk kalah kepada DAP.

“Memang sudah ada usul bahawa UMNO mesti bertanding dan kami di Pemuda UMNO Seremban akan terus mendesak sehingga akhir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, seorang sumber daripada DAP Seremban juga mengakui, DAP mungkin berdepan sedikit masalah sekiranya kerusi Seremban ditandingi calon dari UMNO.

“Lawan lama MCA mungkin kali ini tidak bertanding, jika UMNO pula bertanding di sini jadi situasinya bagi DAP agak berbeza. Dalam Negeri Sembilan sebelum ini DAP tidak pernah lawan terus dengan UMNO di mana-mana kerusi, jika UMNO yang bertanding kali ini, semangat mereka mungkin berlainan.

“Lawan lama (MCA), kamu mesti sudah tahu taktik mereka macam mana dan mereka boleh pergi sampai mana jadi DAP boleh buat persiapan awal, tapi DAP tidak pernah satu lawan satu dengan UMNO, apa strategi mereka kami tidak tahu, kena kaji dan kami akui ia agak mencabar,” katanya.

Sementara itu, seorang sumber UMNO Seremban pula berpandangan, sukar untuk menewaskan Anthony Loke di Parlimen Seremban.

Ujarnya, jika BN mahu merampas kerusi tersebut mesti ada seseorang individu bernama besar yang boleh menandingi Setiausaha Organisasi DAP pusat berkenaan.

“Betul, MCA tidak boleh lagi bertanding di Seremban, jika mahupun boleh setakat bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang ataupun Lobak, itupun tentu kalah juga. Kerusi Seremban mesti beri kepada calon Melayu, jika tidak UMNO, beri kepada Pas.

“Kita kena akui, Siew Fook ini ‘perform’, beliau memang menjaga kawasannya buat kerja, malah semasa beliau menjadi menteri dahulu pun dia antara menteri yang bagus.

“Kalau MCA bertanding, Siew Fook senyum sahaja, sedangkan semasa PRU-14 lalu, MCA letakkan Ketua Pemudanya, Datuk Chong Sin Woon yang semasa itu juga Timbalan Menteri Pendidikan, Siew Fook boleh menang sampai lebih 30,000 majoriti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN