Selangor pantau penipuan label, cap palsu daging sejuk beku import - Utusan Malaysia

Selangor pantau penipuan label, cap palsu daging sejuk beku import

AHMAD ZAWAWI MUGHNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan melaksanakan pemantauan rapi bagi mengelak insiden penipuan label halal, pemalsuan cap serta pembungkusan semula daging sejuk beku import di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya akan sentiasa memantau rapat kes pengedaran daging sejuk beku seludup yang tidak mendapat perakuan halal dan penandaan logo halal palsu.

Menurutnya, pihaknya memandang serius isu kartel yang menukar daging haram kepada halal yang telah tular di media tempatan khasnya di media sosial beberapa hari lalu. 

“Kita telah menerima laporan lengkap daripada Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tentang isu tersebut. 

“Buat masa ini, JAIS telah menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan berkaitan perkara tersebut mengikut peruntukan Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Terdahulu, taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor kelmarin. 

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Dalam masa yang sama, Mohd. Zawawi berkata, pihaknya sama sekali tidak akan membenarkan kegiatan pemalsuan status halal daging sejuk beku berlaku di negeri ini.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini boleh menjejaskan dan kita minta rakyat bertenang dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat yang boleh mengelirukan masyarakat. 

“Kita harap masyarakat dapat bersama-sama membanteras penyalahgunaan ungkapan dan penandaan halal. Sekiranya terdapat mana-mana premis yang diragui atau didapati melakukan kesalahan tersebut bolehlah melaporkannya kepada JAIS di talian 035514 3725/3696/3486, ” katanya.

Sementara itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyelar perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang berselindung di sebalik logo halal Malaysia dengan membungkus semula daging tidak halal. 

Yang Dipertuanya, Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, pihaknya kesal dengan perbuatan itu yang dilihat lebih mementingkan keuntungan semata-mata tanpa melihat kepada soal hukum dan keberkatan perniagaan.  

“Kita memandang serius pendedahan yang dibuat berkaitan isu daging tidak halal yang telah dibungkus semula dan diletakkan logo halal Malaysia. 

 “Oleh demikian kita menggesa kerajaan dan agensi yang terlibat supaya mengambil tindakan keras terhadap kartel dan mereka yang terlibat dalam melakukan perkara tersebut. Siasatan rapi perlu dijalankan serta mengesan semua sektor yang terlibat dalam hal ini dan hasil siasatan pula harus dimaklumkan kepada umum.

“Malah, kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas dengan menarik kembali produk yang terlibat serta merta daripada pasaran,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.