Sarjan Norihan dibenar pulang ke rumah hari ini - Utusan Malaysia

Sarjan Norihan dibenar pulang ke rumah hari ini

ROSMAN KASMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, 39, dibenarkan pulang ke kediamannya di Bidor, Perak dari Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Norihan yang ditemani isterinya dibawa pulang dengan menaiki kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sambil diiringi pegawai dan beberapa anggota.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintenden Rosman Kasman berkata, anggota terbabit selamat tiba di Kem Batalion 3 PGA, Bidor di Perak pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Ketibaan Norihan disambut sebagai Pewira Negara dalam satu majlis yang diadakan di lobi bangunan Ibu pejabat Batalion 3 PGA tengah hari tadi.

“Dia (Norihan) dilihat bertambah sihat dan ceria serta menyatakan tidak sabar untuk kembali menjalankan operasi di lapangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Norihan menerima rawatan di HPP sejak 25 November lalu dan telah menjalani pembedahan membuang sebutir peluru pada perut sehari kemudian.

Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi, 23 November lalu, Norihan dan seorang lagi anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena tembakan dipercayai oleh anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin maut di tempat kejadian selepas ditembak pada bahagian kiri perut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN