Salahkah MASA pertahan hak negara daripada dimonopoli Singapura? - Utusan Malaysia

Salahkah MASA pertahan hak negara daripada dimonopoli Singapura?

ABDUL Hak Md. Amin bercakap pada sidang akhbar Persatuan Saudagar Kapal Malaysia (MASA) berhubung isu pembatalan pengecualian Dasar Kabotaj Negara oleh Kementerian Pengangkutan di pejabatnya (MASA) Ayer@8, Putrajaya di sini, hari ini.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Persatuan Saudagar Kapal Malaysia (MASA) menempelak pihak tertentu yang sengaja mempertikaikan usaha kerajaan menarik balik pengecualian Dasar Kobotaj Negara.

Sambil menyifatkan kelompok ini sebagai tidak peka bela kepentingan negara, Pengerusinya, Datuk Ir. Abdul Hak Md. Amin bertegas polisi itu dibuat demi pertahan kedaulatan tanah air.

“Dasar ini turut diamalkan 91 buah negara tetapi pelik apabila ada pihak di Malaysia ‘marah’ kerajaan memansuhkan peraturan itu walhal ia amat baik untuk negara kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di pejabat MASA di sini hari ini sebagai memberi pencerahan isu langkah terbaharu Kementerian Pengangkutan pada akhir bulan lalu.    

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong malah dikutuk pembangkang kerana tegas meluluskan pembatalan pengecualian yang diwartakan kerajaan terdahulu itu pada 25 November lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Hak dalam nada kesal membidas golongan yang tidak berpuas hati itu sanggup biarkan sahaja sebuah syarikat asing ‘memonopoli’ perairan negara kita sendiri.

“Bayangkan, firma perkapalan Singapura itu bebas membuat kerja pembaikan kabel dasar laut rosak, walhal Malaysia pun ada syarikat yang berupaya untuk tujuan sama,” jelas beliau.

Langkah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu itu menyebabkan syarikat terbabit ‘berhijrah’ ke negara lain seperti Taiwan, Brazil dan Panama yang lebih mengiktiraf kepakaran tempatan.

Justeru, ujarnya, adalah tidak adil menuduh syarikat perkapalan Malaysia tidak layak dan cuba pula mendiskriminasi kemahiran pekerja watan untuk balik berbakti kepada tanah air sendiri.

“Salahkah MASA pertahankan hak negara kita? Cuba fikir, syarikat Singapura itu langsung tidak ambil pekerja Malaysia dan tidak bayar cukai kepada negara kita, adilkah itu?” soalnya.     

Abdul Hak menambah, MASA yang ditubuhkan sejak 1976 dengan lebih 100 anggota, turut terkilan apabila dituduh pula cuba hasut kerajaan hari ini bagi memansuhkan pengecualian itu.

Padahal, mereka langsung tiada apa-apa pengaruh dan tidak dapat bersuara menentang keputusan dibuat Menteri Pengangkutan terdahulu meskipun ia jelas menjejaskan negara.

“Dasar diwujudkan awal 1980-an lalu tidak bercanggah pun undang-undang antarabangsa dan banyak negara jauh lebih ketat waima ada larang kapal asing masuk langsung,” katanya.

Ini turut memanfaatkan negara dari segi kutipan hasil yang selama ini mencatatkan defisit besar akibat caj pengangkutan barangan dan pembayaran insurans mengalir ke luar negara.

Beliau turut menafikan polisi itu akan menyebabkan caj pembaikan kabel internet di laut akan naik kerana menteri sendiri telah memberi jaminan bahawa kadar ditetapkan mesti seragam.

Malah, Ka Siong menegaskan, dasar itu bukan halang kapal luar tetapi hanya beri keutamaan kapal tempatan terlebih dahulu atas dasar keselamatan daripada diceroboh oleh pihak asing.

“MASA turut bersetuju dan kita yakin kemampuan kapal dengan bendera Malaysia membuat kerja ini lebih pantas kurang 27 hari berbanding kapal Singapura selama ini,” katanya optimis. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya