Ramai pencarum tidak layak dapat i-Sinar? - Utusan Malaysia

Ramai pencarum tidak layak dapat i-Sinar?

Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meskipun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa i-Sinar akan membantu sehingga lapan juta ahli yang kehilangan pendapatan, ia menimbulkan persoalan terhadap jumlah sebenar pencarum yang mendapat manfaat tersebut.

Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata kriteria kategori 1 dan kategori 2 dilihat menyebabkan ramai pencarum tidak layak untuk memohon i-Sinar.

“Jika dilihat dalam kedua-dua kategori, KWSP menetapkan syarat yang agak tinggi iaitu mereka yang mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

“Kita perlu fikir, ada juga yang terjejas dalam lima peratus tetapi mereka tetap mengalami pengurangan gaji. Mungkin KWSP memikirkan dari segi kos perbelanjaan tinggi, tetapi jika ditetapkan sehingga 30 peratus, tidak mungkin sampai lapan juta pencarum layak memohon i-Sinar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman KWSP berkenaan permohonan i-Sinar dalam talian yang akan dibuka bermula 21 Disember ini.

Pada masa sama, Nuradli mengakui i-Sinar banyak membantu pencarum yang terdesak dan secara tidak langsung memulihkan ekonomi negara tetapi mempersoalkan sama ada terdapat pelan alternatif.

“Memang i-Sinar dan Belanjawan 2021 banyak membantu rakyat menampung kehidupan dalam masa terdekat, tetapi segala-galanya bergantung kepada situasi semasa penularan Covid-19.

“Kerajaan juga sedang dapatkan vaksin dan mengharapkan keadaan lebih baik, tetapi apa akan jadi jika keadaan masih belum pulih? Apa yang akan dilakukan oleh KWSP dan kerajaan ada pelan B? Perkara asas ini perlu difikirkan,” katanya.

Pencarum boleh memohon menerusi dua kategori, dengan Kategori 1 adalah untuk ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% dan ke atas selepas Mac 2020.

Kategori 2 pula meliputi ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas, termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020, yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenalpasti melalui dokumen yang diberikan.

Jumlah kelayakan untuk mengeluarkan wang dari i-Sinar tertakluk kepada baki simpanan ahli dari Akaun 1, sama ada RM100,000 ke atas atau RM100,000 ke bawah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya