Ramai mohon i-Sinar, tanda rakyat terdesak - Utusan Malaysia

Ramai mohon i-Sinar, tanda rakyat terdesak

PENCARUM beratur panjang di pejabat cawangan KWSP Seremban semalam untuk pelbagai urusan terutamanya bagi mendaftar i-Akaun dan i-Sinar. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pejabat-pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di seluruh negara dan laman sesawangnya diserbu orang ramai selepas permohonan i-Sinar dibuka bermula semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati bahagian pertanyaan KWSP di laman sesawangnya dihujani dengan bilangan pertanyaan yang begitu tinggi sehingga meminta pengguna untuk ‘mencuba sebentar lagi’.

Pejabat KWSP di kebanyakan negeri diserbu seawal pukul 8 pagi membuatkan kakitangan agensi itu terpaksa ‘bertugas’ di luar pejabat bagi membantu pencarum melakukan permohonan tersebut.

Bagi penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali, fenomena itu menunjukkan rakyat berada dalam keadaan terdesak dan sangat memerlukan bantuan kewangan ketika ini.

“Ramai yang memerlukan duit, KWSP sendiri pun menjangkakan seramai lapan juta pencarum akan membuat permohonan, sudah tentu mereka akan berdepan bilangan permohonan yang banyak.

“Ada yang perlukan duit kerana kekurangan pendapatan, ada yang perlukan duit untuk beli keperluan asas dan ada yang perlukan duit untuk bayar hutang, ini menunjukkan rakyat memerlukan bantuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagaimanapun beliau menganggap bilangan permohonan i-Sinar yang tinggi secara tidak langsung akan membantu kepada pemulihan ekonomi negara.

“Ramai yang akan mengeluarkan duit nanti dan akan berbelanja, ini akan membantu kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa akan datang,” katanya.

Untuk memohon i-Sinar, pengguna hanya perlu memasukkan maklumat nombor kad pengenalan dan nombor telefon.

Kemudian pengguna akan diberi pilihan untuk memohon jumlah wang hingga RM10,000 dan menetapkan jadual bayaran bulan pertama dan lima bulan berikutnya iaitu antara RM1,000 hingga RM5,000.

Selepas itu, pengguna perlu mengisi maklumat permohonan seperti alamat e-mel dan alamat surat menyurat.

Pengguna juga diberi pilihan untuk menukar jumlah pengeluaran wang dan memasukkan maklumat akaun bank yang aktif.

Di muka surat terakhir, pengguna hanya perlu menyemak maklumat pemohon dan maklumat pembayaran, dengan status permohonan boleh disemak mulai 4 Januari ini.

Terdahulu di JOHOR, seorang suri rumah, Rohana Abu, 52, berkata, dia sanggup keluar rumahnya di Pasir Gudang seawal pukul 6.30 pagi sebelum sampai ke pejabat KWSP kira-kira pukul 8 pagi.

“Saya nak buat permohonan i-Sinar secara manual, saya tak pandai nak buat secara dalam talian,” katanya.

Bekas pemandu lori, S. Jonathan, 48, berkata, peluang bagi pengeluaran i-Sinar yang dilaksanakan kerajaan menerusi KWSP amat bermakna buat keluarganya setelah dia kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.

Jelasnya, pengeluaran i-Sinar akan membantu mengurangkan bebanan kos sara hidupnya sekeluarga.

Bekas pekerja pemasaran, Chin Kim Ying, 45, berkata, dia akan menggunakan wang daripada i-Sinar utuk perbelanjaan barang keperluan harian selain digunakan modal memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Di SHAH ALAM pula, seorang pencarum, Halimah Mohammad, 41, berkata, dia tiba di pejabat KWSP kira-kira pukul 11 pagi dan dibantu pegawai di pejabat tersebut bagi menunjukkan cara bagaimana memohon i-Sinar.

“Saya sudah dua tahun tidak bekerja dan berhasrat mengeluarkan wang bagi membantu menyara keluarga. Namun, saya agak hampa kerana tidak layak untuk keluarkan wang kerana simpanan dalam Akaun 1 tidak cukup seperti syarat yang ditetapkan KWSP. Saya reda dengan keputusan yang diterima,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×