PPK Kuala Langat sedia jadi hab pemasaran daging halal - Utusan Malaysia

PPK Kuala Langat sedia jadi hab pemasaran daging halal

ABDUL Razak menunjukkan contoh daging sejuk beku keluaran penternak di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) di Jalan Waja Teluk Panglima Garang, Selangor hari ini.-UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat bersedia untuk menjadi hab pemasaran daging lembu halal utama negara pada masa depan.

Pengerusinya, Dr. Abdul Razak Khasbullah berkata, pihaknya terpanggil untuk menguar-uarkan visi tersebut sebagai fardu kifayah demi memastikan umat Islam tidak terus gusar dengan isu logo halal palsu.

“Kuala Langat bersedia untuk menjadi pembekal daging lembu halal sekiranya semua pihak bekerjasama ke arah itu, kita mempunyai pengalaman sebagai penternak lembu berjaya.

“Bagaimanapun, apa yang diperlukan adalah dana atau geran daripada Kerajaan Persekutuan bagi menjadikan industri ternakan ruminan secara besar-besaran di daerah ini,” katanya kepada pemberita di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) Jalan Waja Teluk Panglima Garang di sini hari ini.

Berkongsi lebih lanjut, Abdul Razak berkata, pada permulaan projek PPK daerah ini berusaha meramaikan penternak lembu yang jumlahnya ketika itu hanya lima penternak sahaja.

Bagaimanapun katanya, selepas 10 tahun, PPK Kuala Langat telah mempunyai 40 penternak lembu yang menjadi antara penyumbang utama di Lembah Klang.

“Pada 2011, kita memasarkan lembu korban hanya 20 ekor bernilai RM56,000, namun kini sebanyak 2,200 ekor lembu telah dipasarkan oleh penternak bernilai RM9.9 juta di daerah ini pada 2019.

“Statistik ini menunjukkan perancangan sistematik PPK Kuala Langat membuahkan hasil yang membanggakan dari tahun ke tahun sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, PPK Kuala Langat turut memiliki pusat penyembelihan ruminan milik seorang penternak di Kampung Endah di samping pusat penyembelihan baharu yang bakal dibina di Pulau Nyatoh, Jugra.

Sementara itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan yang tegas terhadap isu daging yang tiada pengesahan halal tetapi dilabelkan sebagai halal.

Yang Dipertuanya, Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, masalah tersebut sangat menyedihkan kerana makanan halal adalah suatu perkara yang penting bagi umat Islam.

“Bayangkan lebih 40 tahun mereka melakukan kerja ini, tanpa memikirkan kesan dan seakan-akan tidak bimbang terhadap agensi-agensi penguat kuasa di negara ini.

“Secara realiti, peniaga-peniaga besar mahupun kecil dan sederhana, tidak kira Islam atau bukan Islam, berusaha mendapatkan status pensijilan halal yang boleh meningkatkan permintaan terhadap produk yang mendapat sijil tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN