KUALA LUMPUR: Penduduk yang berdepan misteri gangguan ketukan pintu yang dikatakan sudah ‘melarat’ ke beberapa buah negeri, perlu diberikan penjelasan terbuka oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar perkara itu tidak menjejaskan kehidupan seharian mereka.
Menegaskan perkara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, siasatan terhadap perkara itu perlu dilakukan kerana senario yang dikatakan ada hubung kait dengan perkara ghaib telah menjadi kebimbangan masyarakat.
Beliau berkata, cakap-cakap yang mengaitkannya dengan jin atau hantu hanya akan mewujudkan situasi cemas dan membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah penipuan, kecurian dan sebagainya.
“Jangan cepat melatah, biarlah sesuatu itu ada faktanya. Dalam hal-hal manapun kita berfikir secara realiti, biar ada fakta. Tidak perlu takut berlebih-lebihan kerana dalam apa situasipun, kita diminta oleh Islam agar sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga.
“Saya minta pihak-pihak berkenaan perlu membuat penyiasatan supaya rasa takut di kalangan masyarakat tidak berpanjangan. Kadang-kadang orang kita pelepah kelapa pun dikatakannya hantu bila sudah takut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Semalam Mingguan Malaysia melaporkan, gangguan misteri ketukan pintu dan gegaran jeriji besi yang ‘mengacau’ empat negeri di beberapa kawasan perumahan sejak pertengahan bulan lalu ‘bukan kerja manusia’.
Misteri itu yang sedang diteliti Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’) dan diyakini dilakukan makhluk halus, jin atau syaitan.
Sehingga kelmarin, Johor menjadi negeri keempat yang penduduknya diganggu ketukan pintu tengah malam dan dinihari, selepas isu sama melanda Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan. – UTUSAN










