Polis buka kertas siasatan kegiatan kartel - Utusan Malaysia

Polis buka kertas siasatan kegiatan kartel

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung kes kegiatan kartel penyeludupan daging import haram yang diragui status halal selepas menerima laporan daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau memberi jaminan siasatan kes itu akan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang bagi memastikan perkara tersebut tidak berlarutan sehingga menggusarkan pengguna untuk mendapatkan daging import. 

Menurutnya, pihaknya memutuskan untuk melakukan siasatan terperinci terhadap setiap laporan yang diterima itu.

Menurutnya, siasatan itu turut melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“KPDNHEP merupakan agensi paling relevan untuk melakukan siasatan terhadap kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir dan Pengarah Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.  

Pada Isnin lalu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengetuai kumpulan berkenaan membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung isu membabitkan kartel daging.

Pemuda UMNO turut mendesak supaya satu pasukan khas membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditubuhkan segera berhubung isu terbabit.

Media sebelum ini melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

Daging-daging yang masuk ke negara ini dikatakan bukan daging lembu halal sebaliknya merupakan daging lain seperti daging kuda dan kangaroo.

Abdul Hamid memberitahu, polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbukti melakukan kesalahan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya