JOHOR BAHRU : Pengguna beragama Islam berhak mendapatkan kepastian status halal daging import yang hendak dibeli daripada peniaga.
Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, jika tiada mempunyai logo halal, tidak menjadi kesalahan bagi pengguna untuk menanyakan status halal daripada penjual.
“Begitu juga para peniaga restoran dan kedai makan, pastikan anda membeli daging sembelihan yang halal di pasar sebelum memasak dan menghidangkannya.
“Para pengunjung yang makan tidak mempunyai ruang untuk memastikan daging yang disajikan itu daripada sembelihan yang halal melainkan hanya yakin dengan logo halal yang tertampal di restauran anda.
“Apatah lagi jika kedai makan anda tiada logo halal. Andalah yang bertanggungjawab terhadap makanan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 2 Disember lalu, akhbar arus perdana mendedahkan berhubung kegiatan import daging sejuk beku import tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.
Yahya menegaskan, umat Islam malah perlu mengamalkan sikap berhati-hati membuat pilihan ketika membeli daging import di pasaran dengan memastikan mendapat pengesahan halal Malaysia atau badan diiktiraf di luar negara.
Katanya, aspek halal pada makanan dan ketulenan status halalnya perlu sentiasa diutamakan umat Islam sebelum membeli sesuatu produk makanan termasuk daging import.
“Ketulenan halal sesuatu makanan terutama membabitkan daging adalah perkara yang perlu dijaga dan diawasi masyarakat Islam.
“Hal ini disebabkan syariat Islam menitikberatkan makanan yang hendak dimakan adalah halal,” katanya.- UTUSAN ONLINE