Penganggur cuba samun guna pistol tiruan diberkas - Utusan Malaysia

Penganggur cuba samun guna pistol tiruan diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis memberkas seorang penganggur kerana disyaki melakukan cubaan samun menggunakan pistol tiruan di kawasan tempat letak kereta sebuah restoran di Kuchai Lama, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, suspek berusia 47 tahun itu dikatakan cuba menyamun seorang pengurus bank di Jalan Kuchai Maju 8 di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai baru selesai makan malam di restoran berkenaan dan sedang masuk ke dalam keretanya di kawasan berkenaan.

Menurutnya, suspek kemudian masuk ke dalam kereta mangsa sebelum mengacukan pistol untuk merampas barangan berharga.

“Bagaimanapun, mangsa menjerit meminta pertolongan sehingga menyebabkan suspek melarikan diri.

“Kira-kira 15 minit selepas kejadian, sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan suspek di lokasi dan turut dirampas sepucuk pistol tiruan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Anuar, suspek dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Tambahnya, pihaknya turut merakam percakapan tiga saksi di tempat kejadian.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya