fbpx

Peneroka Felda Kerteh 4 risau ancaman harimau

Mohd. Azimi Hassan (tengah) bersama dua peneroka melihat bangkai seekor lembu yang menjadi korban 'pak belang' di Ladang Felda Kertih 4.

DUNGUN : Seramai 309 peneroka di Felda Kertih di sini bimbang keselamatan mereka dan haiwan ternakan selepas 20 lembu milik penternak dibaham harimau sepanjang tahun ini membabitkan kerugian hampir RM100,000.

Haiwan liar itu didakwa semakin mengganas sejak akhir November lalu dengan terbaharu menerkam dan menggigit lembu tanpa memakannya.

Penternak, Rosham Rosdi, 55, berkata, dalam serangan Isnin lalu, tiga lembu milik rakannya dibaham ‘pak belang’ walaupun ketika itu kalangan penduduk berjaga malam sehingga pukul 3 pagi.

“Kami berjaga di sebelah sini tetapi harimau membaham lembu di kawasan lain. Sebelum ini, memang sudah ada kes begini tetapi tidak seteruk sekarang. 

“Sudah tiga lembu saya dibaham harimau sejak bulan lalu dan kini hanya tinggal 10 ekor. Siapa tidak sedih, penat lelah mengusahakan ternakan tiba-tiba mati,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi penternak, Zulkefli Embong, 52, berkata, kalangan peneroka terpaksa bergadai nyawa untuk ke kebun atau ladang kerana terdapat kes pekerja terserempak dengan harimau berkeliaran pada waktu siang.

“Rata-rata 30 penternak di Felda ini lazimnya masuk ke ladang setiap hari dan kadang-kadang kami pulang lewat petang untuk memastikan semua lembu masuk ke kandang. 

“Kami seolah-olah bergadai nyawa kerana tiada talian telefon di ladang dan kalau berlaku apa-apa, memang susahlah,” katanya yang turut kehilangan empat ekor lembu tahun ini. 

Sementara itu, Pengurus Felda Kertih 4, Mohd. Azimi Hassan tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada seekor harimau memasuki kawasan tersebut berdasarkan kesan tapak kaki.

“Kami menemui kesan tapak kaki harimau dewasa di samping saiz yang lebih kecil.

“Saya bimbang keselamatan peneroka dan penternak kerana ladang merupakan tempat mereka mencari rezeki dan setiap hari terpaksa mengambil risiko berada di sini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received