Penduduk mahu menara telekomunikasi dibaiki, dinaik taraf - Utusan Malaysia

Penduduk mahu menara telekomunikasi dibaiki, dinaik taraf

PELAJAR tahun enam Sekolah Kebangsaan Telaga Mas, dari kiri Qaseh Hanis Jamila Haswari, Nurul Fatihah Sajidah Mohd Azhar, Nur Izzati Nuha Mohd Zubir dan Nur Anis Humaira Mohd Zamri terpaksa menumpang di sebuah surau bagi mengikuti kelas pembelajaran dalam talian berikutan masalah capaian internet yang teruk di Kampung Bukit Teriak, Pokok Sena hari ini. Perkarangan surau merupakan satu satunya kawasan di kampung itu yang mempunyai capaian internet. UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Lebih 1,000 penduduk Kampung Bukit Teriak, Pokok Sena di sini mendakwa mereka sukar mendapatkan capaian internet selepas sebuah menara telekomunikasi yang dibina di kampung itu mengalami kerosakan sejak tujuh lalu.

Masalah talian internet yang lemah itu menyebabkan para pelajar yang tinggal di kampung itu sukar mengikuti kelas secara dalam talian sejak cuti persekolahan pada 9 November lalu.

Bagaimanapun, kawasan sebuah surau di kampung tersebut didapati mempunyai capaian internet dan surau itu menjadi tumpuan penduduk termasuk pelajar untuk ingin mendapatkan talian internet bagi mengikuti kelas dalam talian.

Penduduk, Mohd. Azhar Azizan, 38, berkata, penduduk terbabit sebelum ini mendapat capaian internet yang baik sebelum menara telekomunikasi tersebut masih berfungsi.

Namun, katanya, masalah capaian internet kembali serius selepas menara berkenaan didakwa mengalami kerosakan dan tidak diperbaiki sehingga sekarang.

“Penduduk mengharapkan menara telekomunikasi tersebut dapat diperbaiki semula dan dinaik taraf bagi memberi kemudahan kepada penduduk mendapat talian internet,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pembinaan sebanyak 105 menara telekomunikasi baharu sehingga tahun 2022 membolehkan penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman di negeri ini mendapat liputan internet yang lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, menara telekomunikasi tetap itu akan dibina oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara berperingkat dalam tempoh tersebut.

Sementara itu, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nur Hazirah Azmi, 21, berkata, pada masa ini, hanya di kawasan surau di kampung itu sahaja yang mendapat capaian internet dan menjadi tumpuan penduduk yang ingin melayari internet.

Sehubungan itu, katanya, dia dan beberapa pelajar lain terpaksa ke surau tersebut untuk menghadiri kelas dalam talian.

“Saya terpaksa berjalan lebih kurang satu kilometer dari rumah ke surau ini untuk tidak ketinggalan mengikuti kelas dalam talian hampir setiap hari,” katanya.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Mas, Nurul Fatihah Sajidah, 12, berkata, dia menghadapi masalah mengikuti kelas dalam talian berikutan capaian internet yang lemah di kampung tersebut.

“Pada setiap hari, saya akan ke surau di kampung itu untuk membuat tugasan yang diberi guru bersama rakan-rakan lain pada musim cuti sekolah sekarang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya