fbpx

Isteri kena pukul kerana suka ‘korek’ cerita bekas kekasih suami

MUHAMAD Fais Borhan (tengah) diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara berang dengan sikap isteri yang suka ‘mengorek’ kisah silam dengan bekas kekasih, seorang pemandu lori berdepan hukuman penjara sebulan selepas didakwa telah mencederakan pasangannya di Mahkamah Majistret di sini hari ini. 

Tertuduh, Muhammad Fais Borhan, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Siti Nur ‘Alia Abd. Manab, 32, atas sebab membangkitkan kemarahan kira-kira pukul 2 pagi di sebuah rumah di Taman Bukit Cheng, pada 2 Disember lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga sebulan atau dengan denda boleh sampai RM1,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan. 

Difahamkan, tertuduh bertindak mencederakan isterinya menggunakan tangan selepas tidak berpuas hati dengan wanita itu yang sering mencari maklumat mengenai bekas teman wanitanya. 

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM4,000. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah rendah diberikan dengan alasan dia tidak sengaja memukul isterinya, selain menanggung tiga orang anak dan telah menyesal. 

Muhammad Nazrin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Muhammad Fais supaya tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai. 

Beliau turut menetapkan tarikh 6 Januari depan sebagai sebutan semula kes.  -UTUSAN ONLINE