KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 7,576 orang berbanding lebih 8,000 yang direkodkan malam tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 10 pagi ini, pusat pemindahan sementara (PPS) di Setiu mulai ditutup sekali gus menjadikan hanya 49 yang masih beroperasi di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.
“Memasuki hari kelima banjir bagi gelombang keempat, terdapat sedikit penurunan mangsa berikutan keadaan cuaca yang agak baik di beberapa daerah dan tiada hujan sejak tengah malam tadi.
“Di Kemaman, mangsa berkurang kepada 6,728 daripada 1,531 keluarga manakala di Dungun pula seramai 751 mangsa dan Hulu Terengganu (97 mangsa),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Che Adam turut menjangkakan lebih ramai penduduk terjejas akan pulang ke rumah masing-masing pada hari ini.
Katanya, pagi ini segelintir mangsa sudah mula membersihkan kediaman mereka sebagai persiapan untuk kembali ke rumah. – UTUSAN ONLINE