Malaysia rangka Pelan Hala Tuju Gas Asli sebahagian DEB - Utusan Malaysia

Malaysia rangka Pelan Hala Tuju Gas Asli sebahagian DEB

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia sedang merangka Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) sebagai sebahagian daripada keseluruhan Dasar Tenaga Nasional (NEP) yang akan diumumkan pada suku pertama tahun depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai kesinambungan liberalisasi pasaran dan membuktikan masa depan industri gas, pelan hala tuju itu akan berfungsi sebagai kerangka dasar penting dalam sektor tenaga di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam tempoh 2021-2025.

Menurut Perdana Menteri, NGR antara lain akan berusaha untuk mengoptimumkan nilai sumber gas asli, meningkatkan keselamatan bekalan dan akses kepada gas yang kompetitif dari segi kos.

Kata beliau, sejumlah inisiatif dan infrastruktur dibentuk untuk meningkatkan penggunaan gas di dalam negeri dan di luar pesisirnya serta inovasi global Malaysia dalam gas apabila kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung pertama di dunia (FLNG) siap beroperasi pada tahun 2016.

“FLNG mampu menampung kapasiti untuk menghasilkan 1.2 juta tan LNG setahun sekali gus membolehkannya mengoptimumkan medan gas sebelumnya.

“Ini diikuti oleh FLNG kedua yang dijangka beroperasi secara komersial tahun depan,” katanya ketika berucap dalam Forum Tenaga Antarabangsa (IEF) – Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU) Kali Ketujuh yang dianjurkan Malaysia secara maya hari ini.

Muhyiddin berkata, selain sumber minyak, gas asli tetap menjadi penyumbang utama ekonomi Malaysia dengan 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu lebih daripada RM135 bilion setiap tahun untuk ekonomi yang lebih luas.

Kata beliau, ketika Malaysia menuju ke arah peralihan tenaga kepada rendah karbon, kerajaan akan terus menerapkan pendekatan yang didorong oleh pasaran.

Perdana Menteri memberitahu, Malaysia mempunyai 42 trilion kaki padu rizab gas asli yang terbukti membolehkan negara memacu pertumbuhan ekonominya sejak 1980-an.

Selain itu, kata beliau, Malaysia menjadi pengeksport LNG kelima terbesar dengan menghantar lebih 11,000 kargo sejak 1983.

“Kerajaan mahu gas asli berperanan penting dalam peralihan tenaga dengan menyediakan sumber tenaga asas yang selamat, berpatutan dan mampan dalam sinergi dengan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE).

“Sinergi itu meningkatkan peluang pelaburan besar, bukan sahaja di huluan tetapi merentasi keseluruhan rantaian nilai,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, prospek jangka panjang untuk gas dilihat lebih cerah berbanding bahan bakar fosil lain kerana kosnya lebih rendah dan pelepasan karbon lebih rendah daripada pengeluaran.

Muhyiddin pada masa sama berkata, peserta industri gas perlu memberi fokus semula kepada lima bidang iaitu kecekapan modal, pengoptimuman rantaian bekalan, pembangunan pasaran hiliran, dekarbonisasi dan analisis digital dan lanjutan.

Langkah ini katanya, mampu menangani persekitaran pasaran yang tidak menentu, dan jika berjaya dilakukan, industri gas dapat keluar dari pasaran yang sukar diramalkan.

“Peluang boleh dicari untuk pertumbuhan lebih cepat bukan hanya di Malaysia, tetapi pasaran global secara keseluruhan,” kata Muhyiddin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.