Kemelut politik di Perak buntu, gagal yakinkan sultan - Utusan Malaysia

Kemelut politik di Perak buntu, gagal yakinkan sultan

SAARANI Mohamad selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu Perak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kemelut politik di Perak masih buntu apabila tiada pihak mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, berikutan itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan menunggu sehingga ada pihak yang sudah memiliki majoriti mudah serta dapat meyakinkan baginda berhubung perkara itu.

“Setakat ini, baginda belum diyakinkan oleh mana-mana pihak bahawa mereka sudah ada majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

“Sehingga baginda diyakinkan mana-mana pihak yang sudah ada majoriti mudah, barulah istiadat angkat sumpah menteri besar boleh dilaksanakan.

“Kita akan tunggu sampai mereka telah bersedia dengan meyakinkan sultan dan sultan berpuas hati bahawa mereka sudah ada majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri.

“Setakat ini belum ada mana-mana pihak yang memohon untuk menghadap baginda esok,” katanya kepada ditemui pemberita di luar Istana Kinta di sini semalam.

Kenyataan terbaru pihak istana itu jelas bertentangan dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu sudah mempunyai calon Menteri Besar Perak yang mempunyai sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan negeri.

Ketika ditemui pemberita selepas menghadap Sultan Nazrin semalam, Ahmad Zahid berkata, nama calon tersebut telah disembah maklum kepada Sultan Perak untuk pertimbangan dan perkenan baginda.

“Pengumuman untuk nama calon Menteri Besar akan dibuat oleh baginda sendiri dan sebarang kenyataan selepas ini semuanya akan dikeluarkan oleh pihak istana,” katanya.

UMNO yang mempunyai 25 kerusi DUN masih gagal mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan selepas Pas (tiga kerusi) dan Bersatu (lima kerusi) belum memberikan sokongan untuk membentuk kerajaan negeri.

Malah, difahamkan, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang dijadualkan menghadap Sultan Nazrin pada pukul 3 petang semalam membatalkannya, selepas dikatakan mendapat arahan pucuk pimpinan parti.

Keadaan itu membuka satu lagi kemungkinan terbentuknya kerjasama di antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

Ini berikutan tiga pengerusi parti PH turut menghadap Sultan Perak semalam.

Mereka ialah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi.

Namun ketiga-tiga mereka tidak menjawab soalan pemberita ketika ditanya mengenai kemungkinan perbincangan kerjasama dengan UMNO.

“Kehadiran kami ke istana adalah untuk menyembah maklum perkembangan terkini bagi pihak parti komponen dalam PH Perak,” kata Asmuni.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak terdiri daripada 25 ADUN UMNO, Bersatu (lima) dan tiga (Pas), diikuti pembangkang, 16 (DAP), lima (Amanah) dan tiga (PKR), selain masing-masing satu Gerakan dan Bebas.

Kerajaan Perak kini terbubar selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan menteri besar Sabtu lalu, sehari selepas beliau gagal meraih sokongan majoriti ahli DUN dalam undi percaya terhadap beliau pada Jumaat lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN