ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah bertegas mahu mendapatkan pampasan air mentah dan bukannya sekadar sumbangan daripada kerajaan Pulau Pinang bagi membantu memulihara kawasan tadahan air Ulu Muda dekat sini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya telah beberapa beberapa kali menegaskan perkara itu dengan nilai pampasan berjumlah RM10 sen bagi setiap liter padu air mentah yang diekstrak Pulau Pinang menerusi Perbadanan Air Pulau Pinang (PBAPP).
“Kita nak bayaran pampasan dan bukannya sumbangan. Kalau sumbangan, Pulau Pinang mungkin boleh beri berapa banyak yang mereka suka tetapi bayaran pampasan ini telah kita tetapkan 10 sen untuk setiap meter padu.
“Setakat ini, kita tetapkan 10 sen tetapi harga itu boleh dirunding. Kita tak boleh katakan sumbangan kerana jika digunakan istilah itu, mereka mungkin ada pilihan untuk beri atau tidak sedangkan kita memang mahu supaya bayaran tersebut dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan penanaman pokok bersempena Program Penghijauan Malaysia, Kempen tanaman 100 juta pokok yang dijalankan di pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri, Ismail Zakaria dan Timbalan Pengarah Operasi Perhutanan Negeri, Mohd. Asri Yussof.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow baru-baru ini mendakwa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri tidak menyatakan Pulau Pinang perlu membayar pampasan dalam hal itu sebaliknya hanya bercakap mengenai sumbangan bagi membantu memulihara kawasan tadahan air di Ulu Muda.
Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang menghormati hak Kedah dalam isu berkenaan dan pihaknya bersetuju bahawa Kedah wajar mendapat sumbangan atas pengorbanan menjaga kawasan tadahan air.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kenyataan Kon Yeow mengenai kesediaan Pulau Pinang untuk berunding merupakan sesuatu yang positif walaupun perkara tersebut hanya dinyatakan di dada akhbar dan bukannya melalui surat rasmi.
“Kita anggap kenyataan itu positif untuk memulakan rundingan dan perbincangan boleh dibuat melibatkan peringkat pegawai terlebih dahulu.
“Dalam hal ini, sama ada PBAPP atau kerajaan negeri yang hendak bayar kepada Kedah, kita tak kisah.
“Tetapi saya difahamkan kerajaan negeri kenakan caj sebanyak 6 sen kepada PBAPP dan sebab itu, mungkin kerajaan negeri yang patut buat bayaran,” katanya. – UTUSAN