Kartel daging: Anwar gesa kerajaan siasat dengan telus - Utusan Malaysia

Kartel daging: Anwar gesa kerajaan siasat dengan telus

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digesa menjalankan siasatan dan membawa individu yang terlibat ke muka pengadilan berhubung kes kartel daging yang didakwa turut didalangi kakitangan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mendesak pihak berwajib untuk menghentikan segala korupsi selain mendesak agar siasatan dijalankan dengan rapi, cekap dan telus bagi mengelakkan timbulnya persepsi kurang baik dalam kalangan masyarakat terhadap industri halal di negara ini.

“Skandal ini ternyata telah merobek reputasi dan imej institusi itu yang diamanahkan memulia dan meningkatkan darjat Islam. Meski dikurniakan peruntukan yang bukan kecil hampir setiap tahun, namun skandal ini telah merosakkan kepercayaan umum kepada institusi tersebut.

“Ini ternyata satu kegiatan yang tidak bermoral tatkala kita harus pertingkatkan segala usaha dan upaya dalam memerangi rasuah dan kebobrokan, namun kakitangan kerajaan ini mudah dibeli sekali gus mengabaikan tanggungjawab kepada negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Gesaan itu hadir selepas pendedahan media baru-baru ini terdapat kartel yang bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk mengimport daging seperti kanggaru dan kuda yang tidak berstatus halal untuk dijual sebagai daging halal.

Pegawai dalam agensi kerajaan itu didakwa menerima pelbagai jenis habuan termasuk wang dan khidmat bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging-daging berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN