Jangan aniaya barisan hadapan - Utusan Malaysia

Jangan aniaya barisan hadapan

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan tidak sekali-kali menipu berhubung status kesihatan mereka sewaktu berurusan dengan petugas barisan hadapan.

Menegaskan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan sedemikian merupakan satu penganiayaan kepada petugas kesihatan kerana mereka juga ada hak untuk hidup tanpa dijangkiti wabak penyakit khususnya Covid-19.

“Jangan tipu frontliners (barisan hadapan). Kami juga perlu dilindungi, kami ada keluarga, ada rakan-rakan. Jangan aniaya frontliners,” tulis Noor Hisham di Facebook hari ini.

Beliau mengulas berhubung satu hantaran seorang doktor dari Johor yang mengatakan dia kini positif Covid-19 selepas mempunyai kontak rapat dengan seorang pesakit yang tidak memaklumkan bergejala sebelum menjalani pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT scan).

Dalam hantaran yang dikongsi Noor Hisham itu, doktor berkenaan memberitahu, pesakit tersebut datang ke hospital dan disaring di pintu masuk jabatan sebelum menjalani pemeriksaan CT scan.

Katanya, suhu pesakit itu normal dan pesakit mengaku sihat dan dibenarkan masuk dan doktor berkenaan menyediakan pesakit ini untuk imbasan ( penerangan prosedur, pemasangan IV branula dan sebagainya.

Beliau terkejut apabila melihat gambar paru-parunya di CT scan sama seperti paru-paru pesakit Covid-19.

Menurut dokotor itu, bila ditanya semula, pesakit itu mengaku yang dia mengalami batuk dan demam selama seminggu, tetapi berasa sedikit sihat untuk datang ke temu janji CT Scan.

“Ternyata tindakannya menyusahkan orang lain. Pesakit disahkan positif Covid-19 selepas dua hari,” tulis doktor itu menggunakan nama Nur Marini Zainal.

Doktor itu kemudiannya disahkan positif Covid-19 ketika membuat ujian saringan di hospital lain.

“Saya menangis semasa dapat tahu sebab sedih terpaksa terpisah dengan anak-anak dan suami, risau terhadap keluarga dan rakan sekerja yang mungkin saya jangkiti. Kecewa terhadap sikap pesakit saya,” tulis beliau.

Selasa lalu, Noor Hisham mendedahkan seramai 1,880 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19.

Virus itu dikesan dalam kalangan petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Selayang.

Seramai 280 petugas sedang menerima rawatan di hospital pada 18 Disember lalu manakala 1,697 petugas kesihatan di seluruh negara sedang menjalani perintah pemerhatian dan pengawasan (HSO) sama ada di kediaman atau di stesen kuarantin.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya