PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berusaha mempercepatkan pelaksanaan liputan 4G di Kampung Watt Paya Mat Inson, Pendang, Kedah.
Ini susulan aduan masalah kesesakan talian dan kekurangan kapasiti yang menjejaskan kelajuan data mudah alih ketika ini sering dialami penduduknya dalam kalangan masyarakat Siam tempatan.
“Ramai mengadu proses pembelajaran anak menerusi saluran dalam talian tidak dapat dibuat, namun isu ini bakal diatasi dalam beberapa bulan lagi,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.
Jaminan itu disuarakan Pengerusi SKMM, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek ketika sesi dialog antara penduduk kampung bersama Exco Kerajaan Kedah, semalam.
Ini meliputi naik taraf peralatan di menara daripada liputan 3G sedia ada kepada 4G termasuk sekitarnya iaitu Kampung Baloh dan Kampung Huma yang bakal selesai pada Februari depan.
“Penilaian lanjut akan dibuat bagi memastikan kelompangan liputan di kawasan kampung terlibat dapat diperbaiki hasil inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela),” jelas kenyataan itu.
SKMM berharap, dengan terlaksananya kerja penaiktarafan itu, penduduk akan menikmati liputan mutu perkhidmatan yang mampu memberikan pengalaman jalur lebar lebih baik kelak.
Usaha itu turut memberi manfaat terutama kepada anak-anak mereka sendiri dapat mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian tanpa ada lagi masalah gangguan sepanjang masa.
Inisiatif Jendela yang sedang dilaksanakan SKMM bersama pelbagai syarikat telekomunikasi menetapkan sasaran 4G kepada 96.9 peratus kawasan berpenduduk menjelang akhir 2022.
“Kadar kelajuan internet mudah alih juga akan dipertingkatkan kepada purata 35 Mbps dalam tempoh perancangan dua tahun lagi di seluruh negara,” jelas kenyataan tersebut. – UTUSAN ONLINE










