PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia diingatkan sentiasa membawa dan menyimpan MyKad dengan rasa tanggungjawab dan mematuhi Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 [PPN1990].
Kegagalan mematuhi Peraturan 6, boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 25(n) PPN1990 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau keduanya, jika sabit kesalahan.
Itu peringatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada warganegara Malaysia berikutan isu pemalsuan dan penyalahgunaan MyKad oleh sindiket dan pendatang asing tanpa izin (PATI), selain gesaan ramai supaya MyKad ditukar dan diperbaharui dengan ciri-ciri keselamatan lebih canggih.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, setiap pemilik kad pengenalan atau MyKad perlu bertanggungjawab memastikan dokumen pengenalan diri itu disimpan dan dijaga dengan baik agar tidak terlepas kepada pihak yang tidak berhak sehingga disalahgunakan.
“Bagaimanapun, kami sentiasa memantau isu penyalahgunaan MyKad dan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Ruslin berkata, MyKad versi terkini yang dikeluarkan mulai 3 Januari 2012 sudah dipertingkatkan tahap keselamatan dan kualiti.
Tambahnya, ia diperbuat daripada bahan polikarbonat sepenuhnya dan diuji ketahanannya di makmal yang diiktiraf.
Selain itu, jelas JPN, cip MyKad juga melalui beberapa peringkat pengujian termasuklah sebelum proses memasukkan cip ke dalam MyKad.
“Mykad versi terkini juga mempunyai tulisan laser pada nama, nombor kad pengenalan dan gambar kecil (ghost image) bagi mengelakkan maklumat dipinda.
“Sekiranya terdapat cubaan untuk meminda, pindaan tersebut dapat dikesan dengan lebih mudah dan pantas,” ujarnya.
JPN berkata, kategori pemilik yang diwajibkan menukar Mykad antaranya warganegara Malaysia yang telah mencapai umur genap 18 tahun, mereka yang ingin menukar alamat terkini serta pemegang kad pengenalan lama (selain Mykad contohnya Kad Pengenalan Plastik).
Pada masa ini, katanya, kerajaan belum mewajibkan pemegang MyKad untuk menukar kepada versi terkini.
Sebaliknya, kata beliau, penukaran akan dibuat apabila pemegang kad pengenalan tersebut hadir untuk berurusan di jabatan itu. – UTUSAN










