KUALA LUMPUR: Proses pengesahan bagi pengeluaran i-Sinar diperlukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertujuan mengelak penipuan dan pengeluaran secara haram oleh pihak ketiga.
KWSP dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia berkata, pengeluaran i-Sinar adalah tidak bersyarat dan apa yang dicirikan adalah kriteria untuk memastikan permohonan selari dengan data sedia ada, yang akan membolehkan
proses kelulusan dipercepatkan dengan mudah dan selamat.
Beliau berkata, mana-mana ahli yang memenuhi kriteria, permohonannya akan diluluskan secara automatik.
“Permohonan ahli yang dibuat dalam talian hanya memerlukan pengesahan amaun maksimum sahaja dan tidak susah atau sukar. Permohonan bermula dari 21 Disember 2020.
“Kategori 1 adalah untuk ahli yang tiada caruman untuk dua bulan berturut-turut semasa permohonan dibuat, dan data dalaman KWSP digunakan untuk mengesahkan perkara ini. Oleh itu, tiada keperluan untuk mereka memberi dokumen sokongan ketika permohonan.
“Kategori 2 pula adalah untuk mereka yang mengalami penurunan pendapatan, tetapi tiada cara untuk KWSP mengesahkan kedudukan mereka tanpa dokumen sokongan. KWSP hanya dapat mengesan pengurangan gaji pokok melalui caruman tetapi tidak dapat mengesan pengurangan pada elaun, gaji bekerja lebih masa dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mengenai bagaimana mekanisme dan kriteria i-Sinar ditetapkan, KWSP menjelaskan, ia ditetapkan melalui perbincangan rapat dan berterusan selama beberapa bulan berserta perundingan dengan pihak berkepentingan utama dari sektor awam dan swasta termasuk Kementerian Kewangan.
Katanya, kriteria dan mekanisme tersebut ditetapkan selepas mempertimbangkan keutamaan keperluan dalam menghadapi cabaran Covid-19 serta mengimbangi mandat KWSP untuk melindungi simpanan ahli bagi persaraan mereka pada masa hadapan.
“Bantuan i-Sinar ini juga dipertimbangkan dalam konteks bantuan-bantuan yang telah disumbangkan oleh KWSP sejak Mac 2020 dan juga bantuan-bantuan lain kerajaan melalui pakej rancangan ekonomi PRIHATIN, PENJANA, dan KITA
PRIHATIN yang bertujuan mengurangkan beban aliran tunai dan tanggungan indidivu dan isi rumah,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE










