Dua bekas pegawai kanan E-Idaman dituduh terima rasuah RM927,899 - Utusan Malaysia

Dua bekas pegawai kanan E-Idaman dituduh terima rasuah RM927,899

MHD. Saiful Anuar Zainal (tengah) dan Azmi Sarji (belakang) yang dituduh menerima rasuah dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua bekas pegawai kanan sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan rasuah melibatkan nilai keseluruhan RM927,899 pada 2017 dan 2018.

Bekas Ketua Pegawai Operasi  Environment Idaman (E-Idaman) Sdn. Bhd., Azmi Sarji, 51, berdepan empat pertuduhan termasuk dua daripadanya dituduh secara bersama dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, Mhd. Saiful Anuar Zainal, 51.

Mengikut pertuduhan pertama, Azmi dan Mhd. Saiful didakwa dengan niat memperdaya majikan mereka, telah mengesahkan kerja-kerja seperti termaktub dalam invois cukai Syarikat Syumul I.Nur Sdn. Bhd. bernilai RM426,935, sudah dilaksanakan sedangkan tiada perkhidmatan dilakukan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 8 Mei 2017 dan 9 Mei 2017 di mana kedua-dua mereka mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa sijil pembayaran bagi bulan Mac 2017 yang digunakan dan terkandung invois tersebut, mengandungi butiran matan palsu.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua mereka didakwa menerima suapan berjumlah RM170,000 pada 19 Februari 2018 daripada Syarikat Azhar Prestige Environment Sdn. Bhd. sebagai dorongan untuk meluluskan pembayaran terhadap empat invois cukai syarikat berkenaan, sedangkan tiada kerja dilakukan.

Untuk pertuduhan ketiga melibatkan Azmi, bapa kepada dua anak itu pada 20 Februari 2018 dituduh menerima rasuah berjumlah RM181,177 daripada Syarikat Dinamik Fhin Jaya Sdn. Bhd. sebagai dorongan meluluskan bayaran berjumlah RM36,235 sedangkan tiada kerja dilakukan oleh syarikat tersebut.

Manakala pertuduhan terakhir, Azmi dengan niat hendak memperdayakan majikannya pada 4 Jun 2018 telah mengesahkan kerja-kerja dinyatakan dalam invois cukai Syarikat Abiwatan Sdn. Bhd. bertarikh 30 November 2017 dan 31 Disember 2017 berjumlah RM149,787 telah dilaksanakan, sedangkan tiada perkhidmatan sedemikian dilakukan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Idaman yang terletak di Bandar Stargate, Lebuh Raya Sultanah Bahiyah dekat sini.

Bersandarkan kesemua pertuduhan tersebut, kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Sekysen 18 dan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) dan Sekysen 24 (1) akta sama.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Tan Sew Ping di hadapan hakim, Murtazadi Amran manakala Azmi diwakili peguam, Shamsul Sulaiman.

Mhd. Saiful pula diwakili peguam, Muhamad Samsul Nizam Sohhimi dan Syed Naqiuddin Shahab.

Murtazadi membenarkan Azmi diikat jamin dengan jumlah RM80,000 manakala Mhd. Saiful RM40,000. 

Mahkamah menetapkan 17 Januari depan untuk sebutan semula. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya