Didenda RM1,500 sorok kelahiran bayi - Utusan Malaysia

Didenda RM1,500 sorok kelahiran bayi

TERTUDUH, Syabariyah Samsuri diiringi anggota polis selepas didenda RM1,500 kerana menyembunyikan kelahiran dalam pendakwaan di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ibu lapan anak didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya yang merupakan hasil hubungan sulit, dua tahun lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Syabariyah Samsuri, 39, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah secara rahsia menyembunyikan kelahiran seorang bayi yang dilahirkannya, sama ada bayi tersebut mati atau selepas dilahirkan kira-kira pukul 2.30 petang di sebuah rumah di Jalan Kampung Permatang, Klebang Besar, pada 27 Disember 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mayat bayi malang itu ditemukan di dalam beg berwarna ungu di sebuah bilik di rumah berkenaan oleh ayah tiri tertuduh sebelum melaporkannya di Balai Polis Batang Tiga, Klebang.

Hasil soal siasat, tertuduh mengakui telah melakukan hubungan sulit dengan dua teman lelakinya sejak Mac 2018 dan bayi malang tersebut merupakan hasil perbuatan seks dengan salah seorang daripada mereka. 

Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan dia mempunyai lapan orang anak berusia antara 21 hingga empat bulan, selain hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah sebanyak RM40 sehari.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fuad Ramlan bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira perbuatan tertuduh adalah tidak berperikemanusiaan, selain sebagai pengajaran serta melibatkan kepentingan awam.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mazana menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar selain menegaskan hukuman berbentuk penjara sekiranya tertuduh mengulangi kesilapan pada masa akan datang. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya