Bersatu perlu hormat kerusi tradisi UMNO, Pas - Utusan Malaysia

Bersatu perlu hormat kerusi tradisi UMNO, Pas

NOH (kiri) memberikan sumbangan kepada wakil PPD Kuala Selangor yang diwakili Mohd. Azwan Mohd. Nawawi selepas hadir ke majlis Pelancaran Gegar SPM 2020 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor perlu menghormati kerusi tradisi yang dimenangi UMNO dan Pas dengan tidak meletakkan calon di kawasan ditandingan kedua-dua parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, UMNO bukan tidak mahu memberi peluang, tetapi sebaliknya Bersatu perlu meletakkan calon di kawasan yang sememangnya kerusi dimenangi mereka sahaja.

“UMNO sedar bahawa sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru, sudah pasti hasrat untuk menawan semula Selangor tidak dapat dicapai. Oleh demikian, sebab itu kita telah membuat pembahagian kerusi dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) iaitu untuk tidak bertembung sesama sendiri.

“Namun, pada masa sama, sekiranya Bersatu ingin bertanding, mereka perlu bertanding di kawasan yang tidak ada UMNO dan Pas. Jangan cuba ambil kerusi tradisi UMNO dan Pas, tetapi sekiranya berbuat demikian, kita akan melawannya, ” katanya kepada pemberita dalam majlis Pelancaran Gegar SPM 2020 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, semua parti perlu berjiwa besar dan sama-sama berkorban dalam memastikan ketiga-tiga parti itu tidak bertembung satu sama lain.

Menurut Noh, adalah tidak adil sekiranya bercakap soal penyatuan Melayu dan Islam sahaja, UMNO sahaja yang perlu berkorban.

“Semua parti perlu berkorban dan peringkat MN, kita telah selesaikan perkara tersebut. Kita boleh bertolak ansur, tetap jangan sampai hak kita pun mereka nak ambil. 

“Jika sesebuah kawasan kubu kuat Bersatu, boleh bertanding. Namun, Bersatu kena lihat semula, jika sesebuah kawasan ahlinya kurang dan hanya beberapa cawangan sahaja, tidak perlu bertanding,” ujarnya.

Ditanya sekiranya Bersatu Selangor ingin mengadakan pertemuan dengan UMNO, Noh memaklumkan pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan tersebut.

“Namun, setakat ini, tiada perbincangan antara Bersatu dan kita tiada masalah untuk berbincang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya