Bapa Muhammad Syafiq belum sempat lihat cucu lelaki - Utusan Malaysia

Bapa Muhammad Syafiq belum sempat lihat cucu lelaki

AHMAD IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Bapa pemain kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad sedih kerana tidak sempat melihat cucu lelakinya yang terkorban dalam kejadian kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, di sini awal pagi tadi.

Menurut Ahmad Ibrahim, 56, dia sekeluarga sudah merancang untuk melawat keluarga Muhammad Syafiq di Johor yang baru dikurniakan cahaya mata 14 November lalu sebaik sahaja tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berakhir.

Katanya, dia sekeluarga sepatutnya bertolak 11 Disember ini tetapi terpaksa ditunda sekali lagi ke hujung bulan ini berikutan kawasannya di Bayan Baru di sini dikenakan pula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Saya dan isteri serta anak-anak yang lain gembira dan teruja untuk melawat cucu lelaki pertama kami, Muhammad Aisy Saqeef dan adik Muhammad Syafiq juga sudah mengambil cuti untuk menziarahinya di Johor.

“Sebab itu kami sekeluarga sangat sedih kerana tidak sempat melihat anak Muhammad Syafiq,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap, di sini pagi ini.

MUHAMMAD Syafiq Ahmad yang berada di atas kerusi roda ketika sedang menunggu bedah siasat anak lelakinya yang maut dalam kemalangan di Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang pagi ini.

Menceritakan kejadian yang menimpa penyerang JDT itu, Ahmad berkata, dia menerima panggilan kira-kira pukul 4 pagi tadi yang menyatakan anaknya itu terlibat dalam kemalangan dan memintanya segera ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun katanya, dia pada mulanya menyangkakan pemanggil itu tersalah orang dan menjelaskan kesemua anaknya berada di rumah.

“Ketika itu saya langsung tidak menyangka Muhammad Syafiq yang terlibat dalam kemalangan kerana saya tidak tahu dia dalam perjalanan ke rumah mentuanya di Pendang, Kedah.

“Dia mungkin ada memberitahu ibunya mahu pulang ke Kedah kerana sering berkongsi cerita dengan ibunya,” katanya.

Menurut Ahmad, selepas diyakinkan Muhammad Syafiq yang terlibat dalam kemalangan itu, dia bergegas ke lokasi kejadian namun semua mangsa sudah di bawa ke hospital.

Tambahnya, berdasarkan perbualannya dengan Muhammad Syafiq, anaknya yang memandu kereta jenis Toyota Velffire itu memaklumkan cuba mengelak sesuatu yang melintas menyebabkan kenderaannya terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Katanya, keadaan Muhammad Syafiq dan isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, serta seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2, yang turut terlibat dalam kemalangan itu dilaporkan stabil meskipun mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, jenazah anak lelaki Muhammad Syafiq dan ibu mertuanya yang turut maut dalam kejadian itu dijangka dikebumikan di Pendang, Kedah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya