Banjir : 672 petugas Jabatan Kesihatan Terengganu bantu di PPS - Utusan Malaysia

Banjir : 672 petugas Jabatan Kesihatan Terengganu bantu di PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan negeri menggerakkan seramai 672 petugasnya daripada 144 pasukan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu. 

Pengarahnya, Dr. Noor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, seramai 314 orang mengendalikan aktiviti pencegahan di samping kawalan penyakit sebelum, semasa dan selepas banjir di PPS atau kawasan terjejas banjir. 

Katanya, setiap pasukan kesihatan itu diwakili tiga anggota yang terdiri daripada penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu.

“Manakala baki 358 petugas daripada 72 pasukan lagi memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan jika berlaku kejadian kecemasan di PPS. 

“Mereka ialah pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat dan pemandu yang sentiasa bersiap sedia apabila diarahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Noor Azimi, pihaknya memandang serius soal peralatan dan ubatan yang mencukupi, bahkan turut mengenalpasti fasiliti sementara jika berlaku bencana banjir. 

Dalam perkembangan sama, katanya, semua PPS dipantau bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu Covid-19 dipatuhi sekali gus mencegah penularan wabak di pusat itu. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan SOP penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, mengelakkan berkumpul atau bersembang secata dekat di samping kerap mencuci tangan. 

“Pematuhan kepada saranan-saranan itu dapat memutuskan rantaian jangkitan dan seterusnya menghalang perebakan Covid-19 dalam PPS dan komuniti,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya