Bagi kepercayaan kerajaan siasatan daging import - Utusan Malaysia

Bagi kepercayaan kerajaan siasatan daging import

NORMALA SUDIRMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rakyat negara ini khususnya umat Islam perlu memberikan kepercayaan kepada kerajaan untuk menjalankan siasatan berhubung kes daging sejuk beku import yang menggunakan logo halal.

Presiden Suara Pengguna Prihatin Malaysia (SPPM), Normala Sudirman berkata, masyarakat diminta agar tidak cepat menghukum pihak berkuasa sedangkan siasatan sedang berjalan.

Jelasnya, pastinya tindakan keras mengikut lunas undang-undang akan diambil terhadap pihak yang didapati bersalah.

“Perkara ini melibatkan banyak pihak dan perkembangan mengenai kes ini sudah bermula apabila dakwaan sudah dibuat di mahkamah.

“Namun perkara ini akan mengambil masa, justeru masyarakat semua diminta untuk bersabar dan memberi kepercayaan kepadanya pihak kerajaan.

“Siasatan juga dilakukan terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan serta penguatkuasa agensi kerajaan sekiranya ada yang didapati bersekongkol dengan kartel daging import haram ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 2 Disember lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mendedahkan kegiatan daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Tambah beliau, SPPM faham kebimbangan masyarakat apabila dimaklumkan kartel ini telah beroperasi di pasaran tempatan selama 40 tahun.

“Sejak akhir-akhir ini, masyarakat semakin bimbang untuk menikmati masakan berasaskan daging ekoran isu kartel daging sejuk beku import ini dan perkara itu berasas,” ujarnya.

Normala turut memberitahu, pihaknya juga berharap kerajaan akan dapat memperketat prosedur melibatkan pengimportan daging sejuk beku halal ke negara ini bagi mengelakkan jenayah sama berulang.

“Prosedur, pelaksanaan dan penguatkuasaan perlu diperkasa bagi memastikan semua daging import mematuhi piawaian halal ditetapkan sekaligus turut menjamin kebersihan dan keselamatan pengguna.

“Dalam masa sama, kami turut menyeru pemain industri ternakan tempatan untuk mempertingkatkan penghasilan dan pembekalan daging yang dapat memenuhi keperluan pasaran tempatan,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.