Azmin, Guan Eng ‘berentap’ - Utusan Malaysia

Azmin, Guan Eng ‘berentap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan belanjawan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini tegang selepas beberapa Ahli Parlimen membangkitkan soal peruntukan yang diberikan dalam Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia (APEC) 2020.

Perbalahan tercetus dengan melibatkan Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tuaran-UPKO) dan Lim Guan Eng (Bagan-PH).

Dalam perbahasan tersebut Mohamed Azmin mendedahkan Pakatan Harapan (PH) meluluskan RM635 juta bagi menampung kos APEC pada tahun 2018.

Katanya, PH kemudian mengurangkan jumlah kepada RM350 juta melibatkan tiga fasa, iaitu RM20 juta untuk tahun 2019; RM300 juta untuk tahun 2020 dan selebihnya RM30 juta untuk tahun 2021.

“Penyaluran awal tahun 2019 adalah untuk membiayai persediaan awal manakala bagi penyaluran 2020 buat penganjuran sebenar persidangan APEC sepanjang tahun.

“ Mesyuarat APEC bukan sahaja pada 20 November, tapi persidangan APEC selama satu tahun yang bermula di Langkawi pada tahun 2019. Saya hanya menyambung tugas untuk menjayakan APEC 2020,” katanya dalam ucapan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan ( Belanjawan ) 2021peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam.

Dalam pada itu, beliau ketika mengulas tentang penjimatan yang dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap peruntukan APEC 2020 berkata, perbelanjaan hanya menelan kos RM66.6 juta dan baki RM233.4 juta dipulangkan kepada Kementerian Kewangan bagi kegunaan pakej rangsangan serta usaha pemulihan ekonomi.

” Bagi tahun 2020, walaupun RM300 juta diperuntukkan bagi menampung kos penganjuran APEC 2020, peralihan format penganjuran daripada fizikal kepada maya berikutan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan penutupan sempadan negara, memberikan penjimatan RM233.4 juta.

Hanya RM66.6 juta digunakan meliputi penyaluran kepada tiga kementerian lain berjumlah RM13.1 juta (Kementerian Kewangan RM7 juta, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya RM4.1 juta dan Kementerian Dalam Negeri RM2 juta),” ujarnya.

Guan Eng kemudiannya mencelah dan mendakwa jumlah berkenaan masih terlalu tinggi bagi persidangan yang dijalankan secara dalam talian serta menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) melakukan siasatan.

Mohamed Azmin dalam masa yang sama turut mendakwa Guan Eng cuba bermain politik dan berkata penjelasan lanjut akan dibuat secara bertulis.

Dalam pada itu, walaupun dilihat berdepan laluan sukar, RUU Perbekalan (Belanjawan ) 2021 peringkat jawatankuasa kementerian ini akhirnya diluluskan menerusi undian belah bahagian.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun turut mengarahkan pemerhati bagi setiap ketua blok ketika undi belah bahagi dilaksanakan.

Setiap pemimpin blok yang membuat pengiraan akan dipantau oleh seorang ahli parlimen daripada pihak lawan.

Peruntukan dua lagi kementerian, iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diluluskan menerusi undian suara.

Ini menjadikan belanjawan 11 kementerian diluluskan setakat ini dengan empat daripadanya diluluskan secara undian belah bahagian manakala tujuh dengan undian suara.

KPDNHEP menerima peruntukan kira-kira RM708.8 juta manakala Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi RM 4.6 bilion.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menerima sebanyak RM1.206 bilion. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya