9 orang utan Sumatera dipulangkan semula ke Indonesia - Utusan Malaysia

9 orang utan Sumatera dipulangkan semula ke Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli hari ini melaksanakan usaha repatriasi melibatkan sembilan ekor orang utan Sumatera diterbangkan balik ke Jakarta, Indonesia.
Ia melibatkan kerjasama kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan republik itu.

Menterinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, proses penghantaran kesemua haiwan itu bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor.

“Ia obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna serta Akta Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam 2008 ,” katanya melalui kenyataan.

SHAMSUL ANUAR NASARAH

Orang utan ujarnya, ialah spesies dilindungi sepenuhnya Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang tidak boleh diperdagangkan bagi tujuan komersial sama ada import atau eksport.

Pihak Perhilitan jelas beliau, menerima kesemua orang utan itu hasil daripada aktiviti penguatkuasaan perdagangan haram di Semenanjung Malaysia sepanjang 2018 dan 2019 lalu.

Tujuh ekor daripada haiwan liar itu katanya, dirampas menerusi tiga kes masing-masing oleh Perhilitan sendiri selain pihak pasukan polis marin dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Dua ekor lagi hasil serahan orang awam kepada Perhilitan. Kesemuanya itu ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak,” katanya lagi.

Shamsul Anuar menambah, dua warga Malaysia dan enam rakyat Indonesia telah dihukum susulan kes itu termasuk ada didenda sehingga RM50,000 dan penjara selama empat tahun.

Uniknya kata beliau, ujian deoksiribonukleik (DNA) oleh Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan di bawah Perhilitan mengesahkan ia spesies Sumatran Orangutan atau nama saintifiknya (Pongo abelii).

Justeru, kerajaan Indonesia bersetuju untuk menerima balik haiwan ini ke negara tersebut dan beliau bagi pihak kementerian menyeru orang ramai agar terus menyokong usaha itu.

Mereka ujar beliau, boleh memainkan peranan dalam memerangi jenayah penyeludupan hidupan liar dengan melaporkan kes itu kepada talian hotline Perhilitan iaitu 1-800-88-5151.

“Inisiatif kerajaan memelihara dan mengembalikan kepada negara asal itu membuktikan komitmen tinggi ke atas kebajikan hidupan liar diseludup penjenayah,” kata Shamsul Nasarah.

Apatah lagi jelasnya, proses repatriasi dilaksanakan dalam situasi pandemik Covid-19 masih ada dan ia adalah kejayaan unik buat kerajaan khasnya kementerian yang diterajui beliau.

Kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam banteras perdagangan haram malahan akan terus dipertingkatkan demi kelestarian fauna khususnya spesies endemik seperti orang utan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.