231 ditahan ingkar SOP, 29 pendatang ditahan - Utusan Malaysia

231 ditahan ingkar SOP, 29 pendatang ditahan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 231 individu ditahan Task Force Operasi Pematuhan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 225 dikompaun manakala enam direman dengan kes tertinggi gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri iaitu 80.

“Ini diikuti kesalahan tidak memakai pelitup muka (71), aktiviti pusat hiburan (63), gagal mematuhi penjarakkan fizikal (13) dan lain-lain (4),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, sejumlah 2,574 pasukan pematuhan meliputi 11,442 anggota memantau 3,085 pasar raya, 4,493 restoran, 1,557 penjaja, 892 kilang, 3,120 bank dan 585 pejabat kerajaan.

Turut dipantau pasukan itu di seluruh negara ujar beliau, ialah sebanyak 869 terminal pengangkutan darat, 169 terminal pengangkutan air dan 61 terminal pengangkutan udara

Sejumlah 29 pendatang asing tanpa izin juga ditahan melalui Op Benteng oleh pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan sekat penularan wabak Covid-19.

“Sebanyak 10 buah kenderaan darat juga dirampas manakala 110 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat,” jelas Ismail Sabri.

Dalam pada itu, 23 operasi sanitasi awam dijalankan meliputi 15 zon merah, tiga zon jingga, tiga zon kuning dan empat zon hijau melibatkan lapan negeri dan dua wilayah persekutuan.

Menyentuh kuarantin wajib ujarnya, sehingga kini seramai 6,747 individu pulang ke tanah air sedang menjalani proses itu, manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Sejumlah 86,839 individu sudah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani kuarantin wajib di 73 buah hotel serta 17 institut latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat 640 pemantauan meliputi 458 peruncit, 150 pemborong dan 32 pengilang.

“Turut dijalankan di seluruh negara ialah 534 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan kesemuanya didapati mematuhi peraturan kecuali satu premis yang diberi nasihat,” tegasnya.

Ismail Sabri turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri dan budaya norma baharu di mana sahaja demi keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya