JIKA kita bercerita mengenai pemain bola sepak yang bertubuh kecil, pasti kita akan tertumpu kepada Lionel Messi.
Di Malaysia susuk tubuh seakan-akan pemain terbaik dunia dari Argentina itu mirip kepada pemain skuad kebangsaan, Faisal Halim.
Faisal Halim atau nama sebenarnya Muhammad Faisal Abdul Halim merupakan pemain profesional yang bermain untuk pasukan Selangor FC selain menyarung jersi kebangsaan.
Namun, ada peminat bola sepak tempatan meragui dengan saiznya untuk bersaing dengan pemain yang lebih tinggi di atas padang, malah suara-suara nakal meramalkan masa depannya dalam arena sukan itu agak sukar jika ketinggian tubuh badan diambil kira.
“Sekarang banyak dengar macam itu tapi dulu sebelum orang mengenali saya, banyak mulut-mulut kata saya tak boleh pergi jauh tapi saya buktikan dengan usaha saya sendiri.
“Apa yang saya buat untuk keluarga dan isteri. Ia hasil kerja keras sendiri. Setiap hari saya pergi bekerja (main bola), pergi latihan ibarat pergi bekerja, memang rutin harian,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Faisal atau digelar ‘Mickey’ lahir pada 7 Januari 1998 di Mengkuang Titi, Pulau Pinang.
Dia memulakan karier bola sepak profesional pada 2015 apabila mewakili skuad Piala Belia Pulau Pinang yang kemudiannya diserapkan ke skuad Piala Presiden Pulau Pinang.
Prestasi yang sangat baik dalam pasukan Belia Pulau Pinang 2015 bimbingan ketua jurulatih Noraffendi Taib telah mencuri tumpuan pengendali pasukan Piala Presiden Pulau Pinang yang seterusnya mengambil Faisal bermain dalam skuad Piala Presiden Harimau Kumbang itu.
Dia menjaringkan satu gol dalam penampilan pertama dalam kejohanan Piala Malaysia menentang PDRM FC walaupun dalam perlawanan itu Pulau Pinang tewas 2-3.
Nasib Faisal semakin menyinar apabila dia dipanggil berlatih bersama skuad senior sebagai persediaan untuk Piala Malaysia 2015.
Faisal mula mencipta namanya dalam arena bola sepak negara apabila menyertai pasukan Pahang pada 2015 dan membantu skuad ‘Tok Gajah’ memenangi Piala FA pada 2018.
Pada 6 Disember 2020 dia menyertai Terengganu dan menjaringkan gol pertamanya ketika membantu skuad Penyu membenam Perak 2-0 dalam saingan Liga Super.
Kelincahannya menarik perhatian Selangor FC dan pada 2022 Faisal menyertai Red Giants.
Dia membuat penampilan pertama bersama skuad bawah 23 kebangsaan pada 2016 dan membuat penampilan bersama skuad senior pada 2019.
Kejayaan skuad Harimau Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 adalah sebahagian daripada kejayaannya bersama pasukan termasuk menang Anugerah Gol Terbaik Piala Asia 2023 ketika skuad negara mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir Kumpulan E.
“Ini semua rezeki rakyat Malaysia yang mengundi saya sampai menang. Saya amat bangga, terharu dan lebih bersemangat untuk meningkatkan prestasi. Ini adalah satu permulaan yang baik untuk karier dan akan terus bekerja keras dalam perjuangan ini. Saya akan teruskan apa yang mampu untuk rakyat Malaysia dan kelab,” jelasnya.
Kisah dia menjaringkan gol ketika menentang pasukan Korea Selatan menjadi bualan ramai dan sejarah dirinya.
“Ketika itu, gol pun saya tak tengok, saya cuma nampak penjaga gol dan pertahanan (Korea Selatan) sahaja. Tapi saya tahu, saya sudah main bola, bila kita nampak garisan kotak kecil di mana, kotak besar di mana cuma ketika itu saya tak pasti ada orang ke tidak, saya hanya buat apa yang termampu,” katanya.
Faisal turut memikirkan masa depan apabila bekerjasama dengan Ferhad Sports mengeluarkan jenama koleksi peribadi FH7.
Faisal berkata, ini merupakan satu pencapaian yang besar buat dirinya apabila berjaya mengeluarkan koleksi jenama sendiri untuk para peminatnya.
“Saya bersyukur dengan sokongan yang diterima daripada peminat bola sepak sehingga kini dan akan berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi saya di atas padang.
“Keyakinan Ferhad Sports mengeluarkan produk berjenama FH7 dan kesediaan AEON BiG untuk menjadi salah satu saluran jualan akan terus membakar semangat saya untuk berusaha dengan lebih gigih,” katanya. – UTUSAN









