KUALA LUMPUR: Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 1, sebanyak 15 pengauditan prestasi bernilai RM15.712 bilion dilaksanakan melibatkan program, aktiviti dan projek di 12 kementerian.
Ketua Audit Negara dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut, tujuh daripadanya adalah kategori projek, empat kategori program dan satu kategori perolehan, penyenggaraan, sistem atau teknologi maklumat dan komunikasi serta dana.
“Isu ketidakpatuhan yang dibangkitkan bernilai RM336.12 juta melibatkan amaun yang perlu dikutip balik oleh lima agensi Persekutuan berjumlah RM70.19 juta, satu agensi Persekutuan perlu membuat bayaran balik RM21.78 juta dan 13 agensi Persekutuan berlaku ketirisan atau kerugian bernilai RM244.15 juta.
“Isu pengauditan pematuhan ini merupakan isu tahun semasa yang mana tindakan boleh diambil untuk mengutip amaun yang terlebih bayar, terkurang kutip dan tindakan punitif terhadap salah laku pegawai sekiranya ada. Selain itu, tindakan pembetulan dan penambah baik terhadap prosedur operasi standard (SOP) perlu dibuat dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Audit Negara berkata, mengenai Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan Tahun 2019, Jabatan Audit Negara perlu menjalankan pengauditan penyata kewangan terhadap 148 agensi Persekutuan bagi tahun Kewangan 2019.
“Sebanyak 123 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan agensi negeri serta syarikat kerajaan negeri bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.
“Semua pegawai serta ketua jabatan yang berkenaan telah dimaklumkan mengenai perkara yang dilaporkan dalam LKAN untuk tujuan pengesahan. Mesyuarat Penutupan juga diadakan bagi membincangkan penemuan audit dan mendapatkan penjelasan serta maklum balas,” jelasnya.
Sebelum ini LKAN telah membentangkan tiga siri laporan audit sepanjang tahun ini iaitu pada 14 Julai, 24 Ogos dan 5 November. – UTUSAN










