Wanita kental pilih jadi penghantar makanan - Utusan Malaysia

Wanita kental pilih jadi penghantar makanan

Noor Iylia Zinal (kanan), Nor Hidayah Ismail dan Siti Zuraini Azmi memilih kerjaya penghantar makanan di Pulau Pinang bagi menampung pendapatan harian dan keluarga. - UTUSAN/ NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN – Tiada istilah kurang keyakinan atau halangan buat sekumpulan tiga penghantar makanan wanita yang menjadikan kerjaya sepenuh masa itu sebagai sumber pendapatan utama bagi menampung perbelanjaan harian ketika negara dilanda Covid-19.

Bekas pekerja kilang di Bayan Lepas, Siti Zuraini Azmi, 33, berkata, dia bekerja sebagai penghantar makanan Food Panda sepenuh masa sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu berikutan terdapat tempahan yang tinggi.

Menurutnya, dia sanggup berhenti kerja April lalu semata-mata mahu menumpukan pekerjaannya itu berikutan mampu memperoleh pendapatan lumayan setiap minggu.

“Kerjaya ini bukan satu halangan untuk kaum wanita tidak boleh melakukannya berbanding lelaki. Biarpun bidang ini dimonopoli golongan lelaki tetapi bagi saya, tidak sedikitpun memberi kesan pada diri mahupun pendapatan.

“Tiada saingan antara kami sebaliknya pekerja lelaki lebih menghargai kami selain banyak menghulurkan bantuan sekiranya berdepan sebarang kesulitan membabitkan urusan penghantaran makanan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bayan Baru, di sini semalam.

Gadis kelahiran Selama, Perak itu memberitahu, pendapatan mingguan yang mencecah RM600 membantunya menguruskan perbelanjaan ahli keluarga di kampung termasuk menjelaskan bil dan sewa rumah setiap bulan.

Sementara itu, seorang lagi penghantar makanan, Noor Iylia Zainal, 33, berkata, biarpun jumlah pendapatannya sedikit terjejas akibat pertambahan bilangan penghantar makanan ketika ini, namun dia menganggapnya sebagai cabaran dalam mencari rezeki.

“Semasa tempoh PKP Mac lalu, saya mampu memperoleh pendapatan RM800 seminggu dalam tempoh 10 jam bekerja. Kini, jumlah tempahan semakin berkurangan disebabkan semakin ramai `rider’.

“Kerja ini sudah sebati dalam jiwa saya. Setiap hari saya menerima kira-kira 30 tempahan makanan untuk dihantar pelanggan di kawasan Bayan Lepas. Pendapatan yang diperoleh juga mampu menampung kehidupan harian keluarga di Jitra, Kedah,” ujarnya.

Dalam pada itu, ibu kepada enam cahaya mata, Nor Hidayah Ismail, 35, pula berkata, kerjaya yang dilakukannya sejak dua tahun lalu itu mampu menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak selain membantu suami menguruskan hal kewangan keluarga.

“Suami juga seorang penghantar makanan dan kami nekad mencari pendapatan lebih demi meneruskan kelangsungan hidup apatah lagi ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Meredah hujan dan panas terik serta dimarah pelanggan kerana lewat menghantar tempahan makanan sudah menjadi asam garam saya dan saya menganggapnya cabaran yang perlu ditempuhi dalam kerjaya ini,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN