Sultan Johor titah rujuk Pegawai Kesihatan jika wabak Covid-19 kritikal - Utusan Malaysia

Sultan Johor titah rujuk Pegawai Kesihatan jika wabak Covid-19 kritikal

YAHYA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan semua kadi daerah negeri ini membuat keputusan berhubung penutupan masjid dan surau dalam kawasan masing-masing untuk tempoh munasabah sekiranya keadaan persekitaran bertambah kritikal dan sukar dikawal susulan jangkitan virus Covid-19.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, beliau telah menghubungi Sultan Ibrahim pada hari ini untuk menyembah maklum mengenai maklumat berhubung terdapat pegawai, ahli jawatankuasa dan jemaah di masjid atau surau di negeri ini yang disahkan positif Covid-19 atau diarahkan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan.

Katanya, Baginda telah berkenan menerima maklum dan menitahkan supaya semua kadi daerah sentiasa merujuk Pegawai Kesihatan Daerah dan Pegawai Daerah untuk mengenal pasti kawasan, kampung dan taman-taman perumahan yang disyaki ada jangkitan Covid-19.

“Justeru itu, tindakan-tindakan ditetapkan hendaklah diambil antaranya mana-mana masjid atau surau mempunyai jemaah atau pegawai yang disahkan Covid-19 hendaklah diarahkan segera melakukan sanitasi seluruh premis.

“Jika keadaan tersebut dibimbangi boleh menyebabkan penularan kepada orang lain, kadi daerah boleh mengarahkan supaya masjid atau surau terlibat mengehadkan kehadiran jemaah untuk solat lima waktu atau solat Jumaat.

“Sekiranya keadaan lebih kritikal serta dibimbangi penularan sukar dikawal, mereka juga boleh mengarahkan agar masjid atau surau ditutup untuk tempoh munasabah supaya tindakan pembendungan boleh diambil sehingga keadaan kembali reda manakala jemaah kariah berkenaan diarahkan supaya mengerjakan solat di rumah sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Yahya, Baginda juga menitahkan semua kadi daerah untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan tindakan segera dalam usaha membendung penularan virus itu di masjid dan surau di seluruh negeri.

“Tuan-tuan Kadi juga dititah supaya terus mempergiatkan untuk memberi peringatan agar ahli jawatankuasa masjid dan surau sentiasa mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan pihak berkuasa sebagai usaha membendung penularan Covid-19.

“Bersamalah kita terus bermunajat dan berdoa semoga wabak Covid-19 segera berakhir dan negara kita dilindungi daripada apa jua musibah, wabak dan penyakit,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya