Prosiding kes Mahkamah Syariah dalam talian elak Covid-19 - Utusan Malaysia

Prosiding kes Mahkamah Syariah dalam talian elak Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM:  Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) memaklumkan bahawa semua prosiding di Mahkamah Syariah turut dilakukan secara dalam talian bagi mengekang penularan Covid-19.

Prosiding yang dijalankan dalam talian itu adalah sebagai langkah membantu lebih banyak kes didengari setiap hari berikutan semua mahkamah ketika ini tidak mampu menampung kehadiran orang ramai secara fizikal.

Bagaimanapun, usaha menjalankan prosiding dalam talian kurang mendapat sambutan sebelum berikutan orang ramai lebih cenderung untuk hadir secara fizikal di mahkamah.

Unit Komunikasi Jakess menerusi kenyataan berkata, perkhidmatan dalam talian disediakan adalah seperti wakalah, afidavit, Majlis Sulh, perbicaraan dan sebutan kes yang dilakukan menerusi sidang video.

“Perkhidmatan ini boleh digunakan dengan mengemukakan permohonan kepada Pendaftar dan persetujuan pihak-pihak yang terlibat.  

“Walaupun belum mempunyai sistem dalam talian khusus, kita komited memastikan perkhidmatan dapat diteruskan termasuk prosiding pendengaran kes dan Majlis Sulh yang menggunakan ‘Skype’ dan ‘Google Meet’,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambah kenyataan itu, mahkamah tidak dapat beroperasi penuh kerana keperluan mewujudkan penggiliran jadual bekerja selaras dengan arahan kerajaan supaya mengurangkan kehadiran pegawai dan kakitangan.

“Jakess terpaksa membuat penjadualan semula kes-kes yang telah ditetapkan pendengarannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa.

“Oleh demikian, kita menasihatkan semua pihak berbincang untuk memuktamadkan persetujuan kes mereka disebut atau dibicarakan secara dalam talian. 

“Persetujuan kedua-dua pihak penting bagi mengelak berlakunya pertikaian terhadap prosiding yang dijalankan,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai operasi Mahkamah Syariah sepanjang tempoh PKPB boleh melayari laman sesawang JAKESS atau menghubungi mahkamah berkaitan. 

Untuk rekod, semua Mahkamah Syariah di negeri ini telah melaksanakan beberapa prosiding secara dalam talian menerusi sidang video antaranya  prosiding perbicaraan, Majlis Sulh dan merekodkan perjanjian persetujuan sebagai perintah mahkamah. 

Kebanyakan permohonan yang diterima bagi pengendalian prosiding itu berikutan kedudukan pihak-pihak yang berada di lokasi jauh seperti Johor, Sabah, Amerika Syarikat, Singapura dan Dubai. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya