Polis rampas dadah, air ketum RM131,110 - Utusan Malaysia

Polis rampas dadah, air ketum RM131,110

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Tiga lelaki diberkas bersama pelbagai jenis dadah termasuk air ketum yang kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM131,110 dalam serbuan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Lubok Chekok, di sini.

Dalam serbuan pukul 12.30 pagi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas merampas pelbagai jenis dadah antaranya syabu (251 gram), pil eramin 5 (3,200 biji), epam (11,600) dan satu liter air ketum.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dan wang tunai RM7,465 hasil jualan barang terlarang itu turut dirampas.

Menurutnya, hasil ujian air kencing ke atas semua suspek berusia 24 hingga 33 tahun itu mendapati salah seorang dari mereka positif dadah jenis methampethamine.

“Hasil siasatan yang dilakukan mendapati salah seorang suspek berusia 28 tahun mengaku kesemua dadah dirampas itu miliknya.

“Lelaki itu turut mengaku terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah bermula Mac tahun ini,” katanya di sini,  hari ini.

Tambahnya, suspek turut mengaku kali terakhir dia mendapatkan bekalan pada Ogos lalu.

Mohamad Roy memberitahu, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 6 November ini.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta 15 sebatan.

“Kita sedang mengesan individu yang bertindak sebagai pembekal kepada suspek utama dalam kes ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN